Selasa, 24 November 2009

Dengki...



Malam tadi ada syura khas. Usrah ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Usai usrah, saya telefon Radzi untuk mengajak keluar minum, namun panggilan saya tidak disahut. Dah tidur agaknya. Saya batalkan niat saya dan terus balik ke rumah.

Semasa membuka sebuah laman sosial yang terkenal. Terjumpa komen dari seorang kawan, yang meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sekumpulan orang. Saya kenal baik dengan kawan saya ini. Saya berasa tidak sedap hati apabila kawan saya ini meluahkan perasaan marahnya dalam ruangan tersebut, kerana saya kenal dia sebagai seorang yang baik hati dan berjiwa halus. Mungkin ada beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati hingga menyebabkan dia meluahkan perasaan marah dalam ruangan tersebut.

Pagi esoknya, selesai solat Subuh, saya membaca Ratib Al-Attas, dan ketika ratib dibacakan, fikiran saya kembali kepada hal kawan saya malam tadi. Saya masih hairan, apa yang dimarahkan sangat kawan saya itu. Selepas bacaan ratib, saya membaca dan menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada kawan saya tersebut dengan niat agar dilembutkan hatinya dan dibuka pintu hatinya supaya memaafkan orang yang membuat salah tersebut.

Saya berjumpa dengan kawan saya itu, yang saya terpaksa rahsiakan identitinya. Mulanya saya panggil dia untuk berbincang sekejap di pejabat, namun pertemuan tersebut tidak dapat lama kerana saya ada temujanji dengan Y.B bagi sesi temuramah bersama Audit Negara. Saya berpesan kepada kawan saya itu agar makan tengahari bersama. Dia mengangguk tanda setuju.

Kami lunch bersama tengahari tersebut di sebuah restoran. Sambil makan, kami berbual.

Biar saya panggil dia Hamba Allah (H.A). Saya ingin bercakap dan ingin tahu apa yang menyebabkan kawan saya itu marah sangat. Ini adalah pertama kali saya melihat dia marah. Jarang saya melihat dia marah, kalau dah marah, memang penyebab bagi marah tersebut besar. Saya cuba slow talk dan berunding dengan dia.

Saya memulakan muqaddimah dengan straight, maksudnya, tanpa bahasa yang berbunga. Saya rasa kawan saya ni dah maklum dengan perangai saya, iaitu saya lebih straight to the point. Sebab itu saya terus tanya dia apa yang menyebabkan dia marah sangat. Dia pun memulakan cerita.

Semuanya berpunca dari kawan-kawannya di luar yang menceritakan keburukan dan menikamnya dari belakang. Oooo, ini kes kena tikam kawan la ni, detik saya di dalam hati. Perkara ini dah banyak kali saya jumpa. Saya sendiri pun pernah kena. Namun saya terus mendengar cerita kawan saya tersebut sampai habis dengan tenang dan tertib.

Tergambar kemarahan dan kekecewaan di wajah kawan saya itu. Dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Aku sik (tak) jaik (jahat) ngan (dengan) sidak (mereka), Asri. Kenak (kenapa) sidak (mereka) molah (buat) aku kedak (macam) tok (ni)?"

Saya terdiam dan berfikir. Kemudian saya bersuara.

"H.A, ko (kau) tauk (tahu) kenak (kenapa) sidak (mereka) molah (buat) kedak (macam) ya (tu) ngan (dengan) kau?"

H.A menggeleng.

Saya memberi jawapan,

"Kerana sidaknya (mereka) dengki ngan (dengan) kau..."

H.A bertanya,

"Kenak (kenapa)?"

Saya menjelaskan apa yang terfikir dalam minda saya kepada H.A. Biasanya kes tikam belakang berlaku kerana dengki.

"Allah dah berik kau macam-macam nikmat, H.A. Nikmat yang ada pada dirik (diri) kau ya (itu) lah yang menyebabkan sidak (mereka) dengki gilak (sangat) ngan (dengan) kau"

Saya melontarkan segala buah fikiran kepada kawan saya tersebut. Amat menyedihkan, kasihan juga bila melihat kawan saya ini yang ditikam dari belakang tanpa dia sedari. Perasaan dikhianat oleh kawan memang pedih untuk diterima.

Saya menyabarkan H.A dan menasihatinya supaya memaafkan saja kawannya itu. Sebaik-baik sifat ialah sifat pemaaf. Saya akui, bukanlah senang nak memaafkan orang yang dah tikam kita. Namun itulah yang saya pelajari dari tok guru saya bagaimana nak memupuk sifat mahmudah (terpuji) dalam jiwa kita. Luka di hati memang bolah bawa sampai mati kalau tak silap kena gayanya.

Kita hidup di kalangan manusia yang mempunyai pelbagai watak. Egois, hipokrit, antagonis bercampur baur dengan sifat-sifat mulia yang lainnya seperti rendah hati, ikhlas, pemurah dan lain-lain. Adat berkawan, memang ada yang akan bertemu dengan watak pendengki. Apa yang ada pada kita, kalau boleh semua nak didengkikan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada apda diri mereka. Apabila kita diberi nikmat oleh Allah berupa kelebihan rezeki, ada pula yang cuba nak menutup periuk nasi kita. Kalau kita da pengaruh di kalangan kawan-kawan, ada pula individu busuk hati yang cuba memburukkan kita dengan cara menyebarkan fitnah.

Ini semua lumrah dan hakikat hidup di dunia yang terpaksa ditelan manusia. Dunia adalah zalim, namun dunia juga indah jika kita bijak dalam menyikapinya. Kita tidak dapat memuaskan hati semua orang, kerana kita juga manusia yang terhad kekuatan dan kudratnya. Sebab itu saya tidak hairan, jika 100 kebaikan yang kita buat, tetapi 1 kejahatan yang kita perbuat, orang lebih suka melihat 1 kejahatan tersebut daripada 100 kebaikan yang telah kita perbuat. Dalam ertikata lain, 1 kejahatan dapat menghapuskan 100 kebaikan kita di mata manusia.

Namun lain pula nilaian di mata Allah. Bagi kebaikan yang dilakukan, jika dibuat dengan ikhlas, akan mengundang rahmat dan redha Allah. Inilah janji Allah.

Saya merenung masalah kawan saya itu dengan matahati. Kenapa manusia mesti berdengki sesama sendiri? Kalau tak puas hati, bukankah lebih elok jika dibawa berbincang. Bukankah dengan cara itu masalah dapat diselesaikan dengan cara matang?

Kawan saya terus menerus meluahkan rasa hatinya. Kekecewaan jelas terpampang di wajahnya. Riak mukanya juga keruh, menggambarkan kesedihan dan kemarahan. Saya cuba untuk memujuk dan menyejukkan hatinya. Saya katakan kepadanya, dia mempunyai nikmat yang banyak anugerah dari Allah. Itulah penyebab utama agaknya kenapa kawan-kawannya menikam dia dari belakang. Wajahnya berubah dan kembali redup. Saya berdoa mudahan dia terkesan dengan kata-kata saya. KAwan saya ini juga jenis orang cepat 'sejuk'. Marahnya tidak lama. Itu yang saya dapat tahu tentang dia.

Saya kenal kawan saya ini sebagai seorang yang berjiwa halus, suka menolong, gemar berkawan dengan sesiapa sahaja, peramah namun terselit sedikit sifat malu, dan agak 'gila-gila' sedikit (sama lebih kurang macam saya). Berperangai 'gila-gila' bukanlah maksudnya jadi gila, namun kerana suka bergurau dan mengusik orang itu yang dikatakan 'gila-gila' sedikit. Beberapa persamaan sifat dalam dirinya itu yang menyebabkan saya selesa berkawan dengan dia.

Bila berlaku masalah seperti ini, saya terpanggil untuk membantunya, paling kurang menjadi pendengar, berkongsi rasa dan memberi sedikit nasihat. Selebihnya, Allah Musta'an. Biarlah Allah menentukan.

Selesai sesi slow-talk, kami berangkat pulang. Waktu pejabat untuk sesi petang dah bermula. Saya memandu kereta terus ke pejabat.

Kena tikam dari belakang memang menyakitkan, lebih-lebih lagi dari kawan sendiri.

Kepada Allah saya berserah diri...

3 ulasan:

  1. Janganlah bermusuhan atau bersangka buruk sesama manusia selagi kita tidak kenal latar belakangnya kerana itu adalah bermulanya segala dosa yang membawa kepada dosa yang membawa kepada dengki dan kianat.

    BalasPadam
  2. Salamz... tikam belakang??? semua nya berpnca dari hati. Hanya ati juga lah yang dapat menyedarkan mereka. Berkelakuan baik dan murah hati keranan miliki hati yang murni, namun pabila dengki dengan kelebihan dan kurniaan Allah ianya kerana hati yang dipengaruh syaitan. Kepada mangsa kembalikanlah pada Allah, kerana dia tahu apa yang kita rasakan. Kepada pemangsa... kembalilah kepada yang berhak. Janganlah terlalu ementingkan kehendak diri...
    Salamzz...

    BalasPadam
  3. Iko: Syukran syeikh atas komen ya. Doakan kesejahteraan untuk kawan ku ya.

    Iwan: Terima kasih atas nasihat. Saya menghargainya dan teruskan mengikuti blog ini untuk kisah kehidupan yang seterusnya. :-)

    BalasPadam