Ribuan ampun dan maaf kepada semua pembaca blog berikutan kelewatan dan 'kemalasan' saya untuk meng'update' blog sebelum ini. Ini berikutan kepada masa yang terhad dan kesibukan yang melampau dengan pelbagai aktiviti selepas waktu kerja seperti usrah, meeting jamaah, meeting squad, merawat, kaunseling dan lain-lain. Hampir 2 minggu kesibukan yang mengambil masa lapang saya, Alhamdulillah hujung minggu lepas saya berpeluang untuk berehat dan memanjakan diri, membuat kerja dan meluangkan masa untuk diri saya sendiri sambil release tension. Saya juga mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada mana-mana kawan atau rakan-rakan saya yang ada mengajak saya keluar untuk minum dan bersembang sama namun tidak dapat saya tunaikan kerana kesibukan tersebut. Kasihan juga saya melihat apabila ramai pelawaan kawan-kawan saya yang terpaksa saya tolak kerana nak duduk bersembang selepas waktu kerja, sehinggakan ada yang jerak (serik) nak ajak saya keluar minum lagi kerana beranggapan saya sentiasa sibuk selepas waktu kerja.
Insya Allah selepas ini ada banyak masa untuk anda.
Saya terpanggil untuk membuat satu entry berkenaan masalah sosial yang semakin menggila di bandar Kuching ketika ini. Beberapa malam yang lepas, termasuk malam tadi, saya berpeluang untuk membuat survey dan tinjauan di sekitar Golden Triangle Kuching. Kawasan ini merupakan kawasan Titik Panas (Hot Spot)untuk para kelebar malam (kupu-kupu malam) atau sesiapa sahaja yang gemar merayau waktu malam. Hal ini demikian kerana banya disko dan pub serta tempat hiburan kelas atas yang disediakan untuk penggemar kehidupan malam. Sebut sahaja Grappa, Soho, Mojo dan lain-lainnya, pasti ramai warga Kuching yang mengenali tempat-tempat hiburan tersebut.
Saya melakukan survey seorang diri, tanpa ditemani sesiapa pun. Bukanlah kerana saya enggan membawa teman, tetapi saya tidak pasti siapa kawan atau rakan saya yang mempunyai minat yang sama untuk memerhati dan melihat tingkahlaku kelebar malam ini. Rakan usrah saya, Bahtiar dah berumah tangga, maka tidaklah elok saya membawa beliau untuk menemani saya pergi ke hot spot ini. Dengan berbekalkan tawakal, saya parking kereta bersebelahan dengan Sarwak Plaza, kemudian berjalan kaki ke Tun Jugah dan bangunan sekitarnya.
Kuching Golden Triangle
Jam 12:30 pagi, mungkin masih muda bagi para kelebar malam ini. Kalau saya, memang dah 'syahid' di katil. Tapi oleh kerana malam tersebut sukar nak melelapkan mata, maka saya keluar untuk melakukan 'operasi' secara individu tanpa ditemani sesiapa pun. saya berdiri di seberang jalan menghadap ke Monster Tongue, kedengaran bunyi bingit dari pembesar suara tempat hiburan tersebut memecah kesunyian malam. Dari luar saya dapat memerhati beberapa individu (yang saya yakin ada sebahagiannya adalah Muslim) meneguk arak dalam gelas besar. Dengan muka merah dan rokok di tangan, mereka bersembang sambil ketawa terbahk-bahak, entah apa yang diguraukan saya pun tak tahu.
Saya terus melangkah dan memerhatikan tingkah laku remaja di sebuah restoran makanan segera yang berdekatan, tidak jauh dari Tun Jugah. Di sana saya melihat ramai pemuda-pemudi, khususnya golongan remaja berkumpul sambil makan dan bersembang. Saya lihat pergaulan yang tidak terbatas berlaku di kalangan mereka. Remaja perempuan dengan pakaiannya menjolok mata, malah ada pula di kalangan perempuan tersebut dengan bangganya merokok di khalayak ramai. Jam sudah menunjukkan 1:10 pagi, aiii, takkan masih melepak lagi waktu begini? Mak bapak diaorang ni tak marah ke? Persoalan ini masih berlegar dalam fikiran saya sehingga kini.
Saya kembali ke kereta saya, dan memandu ke depan Mojo, sebuah tempat clubing yang famous di kalangan remaja Kuching. Dari dalam kereta saya melihat anak-anak Melayu (yang tentunya beragama Islam) keluar masuk sambil berkepit lelaki dan perempuan. Segan silu macam dah tiada lagi di wajah mereka. Lelaki si hidung belang dengan rakusnya memeluk pinggang si betina yang gatal, sehingga kadang-kadang meraba ke tempat sensitif. Saya menahan marah di dada apabila melihat perlakuan pasangan anak muda tersebut. Sifat malu seperti sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka.
Gambier Street
Dengan kancil buruk saya, saya membelah dan memecut bandaraya Kuching yang tampak indah dan berseri di waktu malam, dengan kerlipan dan simbahan cahaya lampu jalan yang indah di tepi jalan. Saya merenung setiap bangunan-bangunannya yang indah dan bersejarah seperti di India Street dan Waterfront, Carpenter Street yang terkenal dengan julukan Small China Town bagi bandaraya Kuching, harumnya bau rempah ratus, gaharu dan wangian kemenyan di Gambier Street di waktu siang, dengan peniaganya terdiri majoriti dari kaum India Muslim, yang sentiasa penuh sesak dengan orang dari kampung seberang sungai utnuk membeli barang keperluan rumah harian, kemudian beralih pula ke bangunan Merdeka Palace yang tersergam indah di tepi Padang Merdeka, atau terkenal dengan nama Padang Central di kalangan warga tua bandaraya Kuching. Di sinilah pelbagai acara peringkat negeri lazim diadakan untuk warga Kuching pada setiap tahun seperti sambutan hari Merdeka, Maulidur Rasul dan sebagainya.
Perjalanan diteruskan sehingga ke Satok. Pada ketika ini, tempat makan terbuka yang dikenali dengan nama Benteng Satok telah mula sunyi dan banyak warung telah menutup perniagaan untuk hari itu. Cuma ada sebuah atau 2 buah saja yang maish buka untuk pelanggan yang datang untuk makan lewat malam. Di sini terkenal dengan makanan tempatan warga Kuching sperti mi kolok dan laksa Sarawak. Di celah-celah bangunan di area Satok ini saya melihat ada golongan kurang bernasib baik yang tidur bergelimpangan, dan yang lebih menyedihkan lagi ada di kalangan mereka ini terdiri dari warga emas. Hmmm, mana anak-anak mereka? Takkan mereka tergamak membiarkan orang tua mereka merempat seperti itu. Saya hanya mampu memerhati dan berdoa semoga Allah menamatkan penderitaan mereka. Saya menruskan perjalanan dan kembali ke rumah dinihari.
Kuching Waterfront India Street
Keindahan bandaraya Kuching telah diperakui oleh sekalian banyak pelancong yang pernah melancong ke bandaraya ini. Kuching terkenal dengan kebersihan dan keselamatannya, dengan sebab kebijaksanaan datuk bandar bahagian Selatan dan Utara dalam mentadbir kawasan masing-masing. Saya sebagai warga Kuching amatlah berharap agar keadaan ini berkekalan sampai bila-bila.
Namun apabila melihat kebejatan moral warga Kuching yang boleh dikatakan kronik, ini amat membimbangkan saya sebagai seorang da'ei. Pengaruh dan anasir negatif dari luar sedikit sebanyak menghakis nilai-nilai murni dalam jiwa dan jatidiri warga Kuching khususnya dan rakyat Sarawak secara amnya. Ditambah lagi dengan kemajuan teknologi dan dunia tanpa sempadan, ini memudahkan lagi unsur negatif dari Barat (tidak semua dari Barat itu negatif) boleh menyemarakkan lagi gejala keruntuhan sosial untuk pemuda-pemudi di Kuching.
Saya hanya mampu mengeluh melihat masalah sosial yang semakin menggila di kalangan remaja Kuching. Ustaz Soleh sudah mula 'bising' apabila usrah remaja kami agak 'lembab' untuk bergerak. Saya dan rakan-rakan usrah yang lain telah mula mengatur strategi dakwah yang baru menjelang 2010 ini. Kesepakatan dan kesatuan hati di kalangan ahli jamaah dan halaqah amat perlu bagi merealisasikan misi ini, dan insya Allah kami akan bergerak secara individu dan juga berjamaah untuk memastikan setiap perancangan berjalan dengan teratur dan lancar. Gerakan akan dijalankan secara terang-terangan, dan mungkin juga 'rahsia'.
Berdoalah semoga dipermudahkan segalanya oleh Allah...
assalamualaikum....maklumat..yang baik... dan betul sgt2 usrah d kalangn remaja mcm kurang...adakalnya..kena pksa baru bergerak...
BalasPadam