Saya terpanggil untuk membuat entry ini setelah mendengar nasihat dari ust Soleh semasa usrah sebentar tadi. Ini saya khususkan untuk diri saya dan juga untuk dikongsikan kepada para mu'alij dan dai' di luar sana. Maaf jika ada yang tersinggung, ini hanyalah lontaran pendapat, nasihat dan kritikan berguna untuk saya dan anda semua.
Selalunya selepas sesi tadabbur dan perbincangan risalah usrah, ust Soleh akan membuka perbincangan umum mengenai isu-isu semasa. Isu yang dikupas pada malam ini lebih menjurus kepada perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat sekitar Kuching, seperti ajaran sesat, program kesedaran aqidah kepada remaja dan masyarakat kampun dan lain-lain. Namun ada isu menarik yang jarang dibincangkan dalam usrah pada malam ini iaitu mengenai rawatan Islam.
Seperti yang pernah saya ceritakan dalam entry yang lepas, ust Soleh juga merupakan seorang mua'lij dan mendapat ijazah perubatan dari Darussyifa. Namun ust tidak terlalu mengkhususkan dirinya dalam bidang perubatan Islam kerana beliau lebih cenderung kepada da'wah dan tarbiah seperti mengajar dan memberi kuliah di kampung-kampung, pembentukan halaqah di kalangan remaja dan lain-lain. Tetapi jika ada permintaan untuk merawat, beliau sudi menolong dan merawat orang yang berkenaan.
Ustaz menceritakan aduan mengenai sebuah group @ kumpulan ruqyah yang sedang aktif bergerak di area Kuching (bukan saya dan Wan Sudirman). Kumpulan ini sudah lama wujud, namun pada akhir-akhir ini ia semakin aktif dan mula mendapat tempat di kalangan warga Kuching, sehinggakan pernah ditemuramah di radio tempatan. Saya kenal dengan ahli kumpulan ruqyah ini, terutama sekali ketua kumpulan tersebut. Bukan orang lain juga, kawan saya semenjak dari zaman sekolah dulu. Kawan saya ini pernah mengajak saya bergabung dengan kumpulan ruqyah mereka, namun saya menolak dengan baik kerana lebih selesa bergerak sendiri bersama sahabat saya Wan Sudirman. Bukan nak menolak gerak kerja secara berjemaah, tetapi saya lebih rasa selesa bergerak sendiri dan masa lebih fleksibel.
Ust melontarkan pendapat beliau mengenai kumpulan ini yang membuat sesuatu yang tidak sedap di dengar oleh telinga. Ada orang mengadu yang kumpulan ini memperalatkan agama untuk 'menaikkan' nama mereka sendiri, sehinggakan menggelarkan diri mereka 'al-Hafiz', sedangkan mereka ini belum ada tauliah dan tidak pernah belajar pun menjadi al-Hafiz. Ahli kumpulan ini pun masih muda-muda belaka, yang hairannya, bagaimana mereka boleh mendakwa yang mereka adalah al-Hafiz, dalam masa yang sama, boleh kata kebanyakan dari ahli kumpulan ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang mantap, malah tidak punya kelulusan pun dari mana-mana universiti. Tetapi mereka bercakap tentang agama mengikut acuan mereka sendiri, bukan bersandarkan Al-Quran dan hadis yang sebenar. Tidak melampau jika dikatakan, kumpulan ini seolah-olah memperalatkan agama atas nama rawatan Islam.
Saya berasa kesal dengan perbuatan kumpulan tersebut, kerana sedikit sebanyak, mungkin saya sendiri akan terkena tempiasnya. Ustaz tidak menentang ruqyah, namun ustaz lebih mementingkan tarbiah dan mahukan anak didik beliau menjadi dai'e, bukan mualij sepenuh masa sehingga mengabaikan kerja-kerja da'wah. Berbeza dengan ahli kumpulan ini, yang lebih mementingkan ruqyah daripada da'wah pembinaan aqidah di kalangan orang Islam di Kuching. Mereka suka jika mereka dapat merawat dan berjaya 'menyembuhkan' si pesakit, dapat tunjuk 'power' dan sebagainya. Ustaz berpendapat, jika aqidah terjaga dan dibina dengan kukuh dalam jiwa setiap muslim, amalan sihir dan khurafat serta masalah makhluk halus mungkin dapat dikurangkan, kalau tidak dapat dihapuskan semua.
Ustaz kesal kerana anak-anak muda lepasan agama lebih suka jadi mua'lij daripada menjadi dai'e, sedangkan pada ketika usia muda ini, ketika badan masih cergas, akal masih waras dan sihat, lebih baik digunakan untuk aktif di lapangan da'wah dan tarbiah, bukan menjadi mua'lij semata-mata yang hanya sibuk merawat tetapi lupa berda'wah. Usrah malas datang, tak nak buat halaqah untuk orang muda dan remaja, tidak menyampaikan kebenaran dengan berceramah dan program, inilah penyakit yang menimpa mu'alij-mu'alij muda ketika ini, mereka tidak sedar bahawa da'wah itu lebih aula (penting) untuk masyarakat.
Saya bersetuju dengan pendapat ustaz. Bukanlah kerana dia guru saya, saya kena follow semua pendapat beliau. Namun inilah hakikat yang berlaku dalam gelanggang da'wah. Ada sesetengah individu yang lebih cenderung menjadi mu'alij sahaja, dan enggan mengerjakan da'wah. Sedangkan Rasulullah mengajar kita supaya menjadi dai'e, menyampaikan risalah kebenaran dan tauhid yang sebenar kepada seluruh alam, bukan hanya menghalau, menyembelih, mengurung dan membuang jin semata-mata!
Namun, tidak semua mu'alij bersikap demikian. Ada mu'alij yang berda'wah semasa proses rawatan dijalankan. Ini juga tarbiah dan da'wah. Menjadikan ruqyah sebagai salah satu medium da'wah juga mudah diterima di kalangan masyarakat kita. Namun bukan ruqyah sahaja satu-satunya jalan da'wah, ada seribu satu jalan da'wah yang boleh digunakan untuk menyampaikan risalah kebenaran. Apa yang nyata, da'wah adalah prioriti utama bagi setiap Muslim.
Kita ambil contoh peruqyah tersohor di Malaysia, Dato Haron Din dan Dato Ismail Kamus. Kedua-dua tokoh ini bukan hanya terkenal dalam bidang rawatan Islam, tetapi hebat dan tangkas di gelanggang da'wah. Mereka turun ke tengah masyarakat dan menyampaikan kebenaran Islam sehinggakan di'gam' dari televisyen untuk beberapa tahun. Mereka turut difitnah, malah pernah juga tidak dibenarkan menginap di sebuah hotel terkemuka di salah sebuah negeri di Malaysia hanya kerana hendak menyampaikan da'wah. Walaupun demikian, mereka tetap gigih berda'wah walaupun semakin hari mereka dimamah usia. Berbeza dengan orang muda kita yang hanya sibuk menjadi mu'alij tetapi lupa dan enggan mengerjakan da'wah sedangkan tenaga mereka yang kuat lebih baik dimanfaatkan untuk berda'wah dan menyampaikan kebenaran. Inilah 'penyakit' yang perlu 'diruqyah' kerana tidak pandai mengutamakan apa yang patut diutamakan!
Kadang-kadang, terlintas dalam fikiran saya, jiwa siapa yang 'sakit'dan perlu diruqyah? Si mua'lij atau...?
Wallahu 'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan