Saya bertemu dengan seorang kawan lama, Azlan semasa hendak menaiki penambang di Boyan pagi tadi. Azlan merupakan rakan seusrah saya yang sama-sama aktif satu ketika dulu. Namun kini Azlan lebih cenderung untuk mengikuti Jamaah Tabligh dan dia lebih aktif mengikuti jamaah tersebut.
Kami menaiki penambang bersama, menyeberangi Sungai Sarawak yang arusnya agak deras dan ganas. Mungkin kerana air surut waktu pagi, menyebabkan pak tambang terhuyung-hayang mengawal kemudi perahu. Gementar juga rasanya melihat pak tambang dengan cermatnya 'bermain dayung'. Namun kerana yakin dengan lafaz bismillah yang telah diucapkan sebelum menaiki penambang sebentar tadi, jiwa rasa tenang seolah-olah Allah 'memujuk' hati saya supaya yakin dengan perlindunganNya.
Kami bersembang di dalam penambang. Azlan sudah beristeri dan beranak satu. Isterinya sama kampung, orang Kuching juga. "Mudahlah bila nak beraya..." saya berseloroh. Azlan ketawa sambil mempamerkan giginya yang tersusun rapi. Satu kelebihan yang saya lihat pada diri Azlan ialah dia memiliki perwatakan yang wara', berjiwa halus, sopan tutur kata dan nur kejujuran jelas terpancar di wajahnya. Inilah kelebihan yang dimiliki oleh kawan saya ini dan saya yakin dia juga seorang yang sangat alim dan menjaga ibadahnya. Ini telah saya dan rakan usrah yang lain telah maklum kerana perwatakan 'ustaz' jelas terserlah dalam diri Azlan.
Sesampainya di seberang, kami berbual sambil berjalan. Azlan bekerja di sebuah syarikat agensi kerajaan negeri, tidak jauh dari ofis saya. Sambil berjalan, pelbagai perkara tentang kerja dan kehidupan yang disembangkan. Bila menyentuh tentang kerja, Azlan 'mengeluh' mengenai tempat kerjanya, yang biasa dikeluh oleh orang lain, iaitu politik ofis. Ini saya dah sedia maklum kerana boleh kata semua ofis mempunyai cerita ofis politiknya sendiri. Malah perkara ini juga pernah berlaku kepada diri saya.
Azlan menceritakan, baru 3 bulan dia bekerja di syarikat tersebut, pelbagai kisah yang tidak berapa sedap didengar berlaku di ofis tersebut. Saya hanya mengiakan apa yang diluahkannya, kerana saya tidak nafikan perkara sedemikian banyak berlaku di mana-mana syarikat. Ada juga saya memberi pendapat dan pandangan kepadanya, mengikut kadar pengetahuan saya. Saya sendiri pun pernah ada masalah yang sama.
Apa yang dapat mampu dibuat, bersabar dengan karenah dan isu politik tersebut. Sukar untuk dielak perkara-perkara sedemikian kerana pejabat merupakan tempat untuk mencari rezeki. Nak tak nak, kita terpaksa pergi ke ofis setiap hari dan berhadapan dengan perkara tersebut.
Kami berpisah. Saya segera menyeberang jalan, melintasi bangunan Riverside Majestic yang tersergam indah, sambil mata saya melirik ke McDonald. Hmmmm, lama juga tak makan kat McDonald. ;-)
Sampai di tempat letak kereta di Top Spot, jam baru menunjukkan jam 7:50 pagi. Masih awal lagi, detik hati saya. Saya berjalan perlahan sambil menghirup udara pagi. Sempat juga bertegur sapa dengan beberapa orang di tepi jalan yang hendak turun kerja dengan berjalan kaki sambil melemparkan senyuman, walaupun saya sendiri tidak kenal mereka. Mereka membalas senyuman dan sapaan saya. Seolah-olah kami telah lama kenal.
Amalan memberi senyuman kepada orang yang tidak dikenali ini saya pelajari dari seorang lelaki Cina yang telah tua renta. Lelaki Cina ini, walaupun berusia lebih 80 tahun, masih kelihatan sihat dan segar. Rahsianya, memberi senyum dan bertegur sapa kepada orang lain, walaupun orang tersebut bukan orang yang kita kenali. Saya setuju dengan petua tersebut kerana memberi senyuman dan berbaik sangka dengan orang lain boleh menggembirakan hati dan mengurangkan stress. Seperti yang kita sedia maklum, stress merupakan pembunuh senyap no. 1 zaman ini. Makanya, badan yang sihat, datang dari hati dan jiwa yang sihat.
Wallahu 'alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan