Rabu, 14 April 2010

Tulah...

Rasa terpanggil untuk membuat entry tentang kebejatan sosial di kalangan budak-budak sekolah zaman sekarang...

Seminggu 2 ni, belakang rumah kami dijadikan port untuk budak sekolah ponteng. Dengan berbaju sekolah, mereka duduk melepak dan bersembang entah apa-apa, sambil menghisap rokok. Ini menimbulkan ketidakselesaan dengan keluarga kami kerana port mereka ponteng begitu hampir dengan kebun di belakang rumah. Bebudak ni pernah ditegur oleh ibu saya, Hjh Fatimah kerana ibu sering berkebun di waktu pagi. Telefon polis pun sudah, bila polis datang 'lintang-perinang' (bahasa Sarawak bermaksud lintang pukang) mereka lari. Tapi lepas tu datang balik melepak. Saya pun sampai naik fed-up.

Sebentar tadi, saya minum petang dengan ibu dan ayah. Bandung rebus cicah dengan gula apong, memang mengasyikkan. Sambil itu kami bersembang pelbagai topik, termasuklah kisah budak-budak ponteng belakang rumah.Hasil siasatan rambang ayah dengan ustaz Jaafar (jiran sebelah rumah), mereka jumpa botol yang digunakan untuk menghisap syabu. Saya terkejut bila ayah bercerita demikian. Saya sangkakan mereka hanya menghisap rokok sahaja.

Ustaz Jaafar dan ayah bercadang untuk melaporkan perkara ini kepada polis. Baguslah, saya pun suka tengok budak-budak macam ni masuk lokap. Dah bagi nasihat pun masih tak makan ajar,elok masuk lokap terus.

Namun, ada satu kisah menarik yang ayah ceritakan kepada kami sebentar tadi. Kisah yang saya rasa patut dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada budak-budak sekolah, tetapi juga kepada ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka agar menjadi orang yang berguna.

Kisahnya bermula apabila ada seorang budak sekolah di kampung ini yang buat hal di sekolah. Budak ni, terkenal dengan kesamsengannya, malah ahli (mungkin kepala) kumpulan gengster. Pukul ugut, gaduh dan lain-lain masalah, memang biasa budak ni buat. Sampai satu hari, budak ni dikenakan tindakan oleh salah seorang guru sekolahnya. Budak ni yang tak puas hati, terus mengadu kepada bapanya yang juga gengster kampung.

Bapa budak ni, yang kalau boleh saya panggil dia L, pun samseng macam anak dia juga. L ada memelihara ayam sabung, mungkin digunakan untuk berjudi ayam sabung dan lain-lain. Tatu ada kat badan, menunjukkan yang dia ni samseng. Bila L dengar aduan anaknya, tanpa panjang cerita, L terus pergi sekolah dan menumbuk dan memukul guru yang mengenakan tindakan disiplin ke atas anaknya. Kesian guru tu, terkulat-kulat menahan sakit, dengan luka di kepala. Tersenyum puas lah budak gengster tu kerana bapak pun menyebelahi dia.

Budak ni juga selalu buat bising waktu Maghrib. Asal penduduk kampung nak mula sembahyang, budak ni akan main motosikal dia sambil menekan minyak dengan kuat sehingga menimbulkan bunyi bising. Jemaah surau dan ayah selalu juga komplen pasal budak ni yang selalu bising main motorsikal depan surau. Namun tiada tindakan yang diambil.

Tidak lama selepas bapak budak tu pukul guru, anak dia (si budak gengster) ni pun pergilah berlumba motorsikal di jalan raya Masja. Untuk pengetahuan, bila disebut Masja, secara otomatik warga Kuching akan mengatakan di situlah tempat mat dan minah rempit berlumba motorsikal. Kalau tak percaya, boleh pergi sana malam minggu. Gerenti ramai.

Budak ni pun berlumba motorsikal dengan geng-geng dia. Malang tak berbau, budak ni eksiden dan melanggar rakannya sendiri. Dia meninggal dunia pada ketika kejadian tersebut berlaku.

Ironinya, budak ni eksiden dan meninggal dunia ketika berlumba motorsikal, dan juga pada waktu MAGHRIB! Waktu ketika dia selalu buat bising petang-petang ketika orang nak sembahyang Maghrib.

Kini, dah seminggu budak tu meninggal dunia. Saya pun baru tau cerita sebentar tadi ketika duduk bersembang dengan ayah dan ibu waktu minum petang.

Soalan saya, inikah dinamakan TULAH?

Wallahu 'alam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan