Ahad, 13 Jun 2010

Penat, Tapi Seronok!

Minggu ini memang banyak aktiviti luar yang diadakan. Tambahan pula musim bola dah bermula, maka ramailah yang mula rancang aktiviti luar yang berkaitan dengan bola. Ada yang plan nak buat match, ada yang plan nak cari kedai makan yang ada sediakan siaran bola, boleh lepak sampai pagi dan sebagainya. Saya sendiri pun secara tidak langsung terlibat juga, walaupun tidaklah seserius kaki bola.

Malam tadi match antara Nigeria dan Argentina. Saya, Sopet, Aied dan Bahtiar keluar malam tadi untuk bersembang sambil menonton bola. Setelah menghantar barang dengan Man dan Radzi di Station, kami bergerak ke destinasi pilihan. Jam sudah menunjukkan 10:15 malam. Cadangnya nak ke Saddad Court, tapi dari kejauhan kami melihat kereta bersusun panjang di tepi jalan raya Jln Patingan, tempat terletaknya kedai makan tersebut. Medan makan pun dah penuh, dari tua sampai ke kanak-kanak, semuanya memenuhi meja makan. Saya dan Bahtiar membatalkan hasrat ke tempat tersebut lalu bergerak menuju ke Boyan untuk menjemput Aied dan Sopet.

Kami menuju ke Demak. Nak cuba food court baru yang dibuka sebulan yang lepas. Alhamdulillah, ada tayangan bola di layar besar medan makan tersebut. Kami segera memilih meja dan membuat pesanan makanan. Biasalah, bila dah duduk dengan kawan-kawan, confirm makan besar. Saya order Milo ais gelas besar, dengan mi sup tulang. Sopet dan Aied order sate daging rusa, manakala Bahtiar hanya minum sahaja. Selesai round makan yang pertama, kami order pula roti bakar style Sarikei. Memang sedap! Roti bakar style Sarikei ini sebenarnya berasal dari Sarikei. Roti dibakar dengan menggunakan arang dan dipalit dengan butter dan sekaya asli. Pergh! Memang sodap kata orang Nogori.

Sambil menonton bola, kami sempat juga berbincang tentang aktiviti da'wah yang akan datang. Sopet pula berkongsi cerita dan kisah perjalanan usrah dan halaqahnya di Mukah. Resam berda'wah, pasti ada ranjau dan cubaan. Sopet difitnah sepanjang dia di Mukah kerana membuat halaqah di sana. Tuduhan tidak berasas ini tidak melemahkan semangat Sopet, malah dia meneruskan usaha da'wahnya di kalangan pelajar dan segelintir orang tua yang open minded di sana. Selain itu, bincang hal bisnes pun ada juga. Maklumlah, nak cari rezeki lebih. Niat kami tidak lain hanya untuk menjadi salah satu ahli masyarakat yang berusaha untuk menyumbang dan memakmurkan ekonomi ummah di kalangan ummat Islam masakini.

Riuh tempat makan tersebut dengan jeritan penyokong bola sepak tidak mengganggu kosentrasi kami dalam perbincangan. Sambil-sambil itu mata melirik juga ke layar tv untuk melihat siapa yang melakukan score pada malam tersebut. Suasana nampak meriah dengan ramai orang.

Tamat permainan, semua mula beredar untuk balik. Termasuklah kami. Kami bergerak ke tempat parkir dan saya menghantar kesemua sahabat-sahabat saya balik ke rumah masing-masing.

Futsal dengan anak-anak usrah


Pagi, usai solat Subuh, saya berehat sebentar. Jam 8:30 pagi, saya menjemput Faiz dan pergi ke Abba Futsal Court yang terletak di Laruh Scheme, berdepan dengan Shell Gita. Hari ini ada permainan futsal dengan anak-anak usrah.

Permainan dah dimulakan sebaik saja saya dan Faiz tiba. Bahtiar dan Rahimi pun dah start tunjuk skill. Saya segera memanaskan badan ala kadar dan bermain. Seronok juga main hari ni, lama dah tak main futsal. Baru hari ni saya mula main lagi.

Kami bermain selama 2 jam. Peluh menyimbah toksah cerita lah. Masing-masing tunjuk skill. Saya sendiri menyumbat 3 gol, tapi kumpulan kami kalah. Takpe, yang penting hati saya puas kerana ada juga menyumbangkan gol.

Balik dari futsal, selesai membersihkan diri, saya berehat lagi. Hari minggu, sementara masa masih ada, saya ambil keputusan nak berehat dengan nyaman. Namun tidak lama saya berbaring di sofa, sakit kepala mula menyerang. Tengkuk sebelah kiri saya menegang dan terasa sakit. Tahulah saya bahawa high blood saya 'menyerang' lagi. Sakit kepala berlarutan sehingga masuk waktu Zohor. Saya sembahyang dalam keadaan menahan sakit.

Saya enggan makan pil kerana saya memang tidak suka makan pil. Saya hanya minum air sahaja. Badan kurang air agaknya.

Usai Zohor, saya ke HIKMAH cawangan Kuching di Satok. Jam 2:30 petang ada usrah untuk budak-budak remaja. Namun disebabkan ada masalah teknikal, usrah hanya dapat dimulakan jam 3:10 petang. Akhir sikit daripada biasa.

Pengisian usrah saya buat secara ringkas, kerana sakit kepala menyebabkan saya kurang selesa untuk bercakap panjang di depan anak-anak usrah. Tadabbur surah An-Nas dan sedikit tazkirah, itu sahaja pengisian yang mampu saya buat untuk hari ini.

Saya balik masih dalam keadaan sakit. Saya berbaring di sofa. Mujurlah saya sudah solat Asar di HIKMAH tadi. Dapat juga saya berehat sebentar setelah sampai di rumah. Belum lama berbaring, saya tertidur...

Penat, tapi berbaloi.

Wallahu' alam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan