Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Selasa, 10 Ogos 2010
Pukul Pakai Sejadah...
Lama juga tak menulis kisah rawatan ye...
Kes rawatan yang kronik baru-baru ini yang pernah saya rawat ialah di Samarahan, melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, adik kepada pesakit Kampung Empila yang pernah saya rawat sebelum ini (rujuk cerita Kembalikan Kepala Aku!).
Budak ni tak pernah saya tengok semasa pergi merawat kakak dia dulu. Saya menerima panggilan telefon dari ayah budak ni dekat nak 5 kali minta saya merawat anaknya, namun saya terpaksa menolak kerana kesibukan aktiviti usrah dan memenuhi jadual rawatan lain. Pada kali ke 5, saya hampir-hampir menolak hajat ayahnya kerana partner saya, Wan Sudirman tidak dapat ikut bersama merawat pada malam tersebut kerana keletihan. Namun oleh kerana kasihan, saya pergi juga ke Empila untuk merawat budak tersebut dengan ditemani Saiful, rakan sepejabat saya.
Setibanya di rumah, kelihatan keluarga pesakit telah menunggu kedatangan kami. Tetapi saya tidak nampak pula kelibat si pesakit.
"Mana budak tu?" Saya bertanya.
"Dia keluar tadi, ustaz. Tadi saya suruh dia tunggu, tapi dia keluar jugak. Saya pergi cari dia sekarang. Ustaz tunggu ye..." Bapa si pesakit memberi penjelasan.
Saya mengangguk. Saya dan Saiful menunggu di ruang tamu rumah tersebut sambil duduk bersila. Maklumlah, rumah kampung.
Lebih kurang 15 minit kemudian, kedengaran budak tu (si pesakit) menjerit di luar rumah. Ayah dia dah tangkap dan paksa naik ke rumah. Tapi dia berkeras taknak naik. Berlakulah pertengkaran antara anak dengan bapak. Saya hanya mendengar dari atas rumah, suara budak tu dah berubah macam suara orang tua, garau semacam. Siap bersilat lagi dengan bapa dia. Sebelum ni bapa dia pernah cerita dengan saya, budak ni nyaris-nyaris nak tetak adik dia pakai parang semasa kerasukan.
Saya berfikir dan berdoa dalam hati, moga-moga Allah bagi ilham bagaimana nak settle budak ni. Kalau nak tunggu dia naik ke rumah, alamat sampai pagi esok pun tak selesai. Ingatkan nak pakai kaedah baling jin yang diajar oleh ust Majid, tapi hati saya ketika itu berbelah bahagi nak pakai kaedah tu. Kot-kot tak menjadi, kan ke naya!
Last-last, datanglah ilham dalam benak fikiran saya supaya menggunakan kaedah pukul pakai serban @ sejadah. Saya meminta sejadah dari tuan rumah, lipat memanjang dan memulakan ruqyah. Ayat ruqyah yang saya baca ialah:-
1. Al-Fatihah (sekali)
2. Ayatul Kursi (sekali)
3. Al-Mu'minun ayat 115 (sekali)
Sejadah itu saya letak atas lantai, tekan dengan tapak tangan kanan sambil membaca ruqyah. Kemudian hembus ke arah sejadah dengan niat untuk memukul dan melemahkan jin.
Setelah selesai, saya turun. Dek kerana gopoh nak turun, nyaris-nyaris saya terjatuh dari tangga kerana tak nampak anak tangga. Luar rumah tersebut tiada lampu, malam sangat gelap sehingga menyukarkan pandangan. Syukurlah saya sempat berpaut dan tidak tergelincir dari tangga tu. Sempat juga control macho. Buat-buat tak sakit, walaupun kaki berdenyut-denyut kesakitan.
Saya mendekati si pesakit dan memukul belakangnya dengan ala kadar (bukan dengan kuat). Setelah 3 kali pukul, pesakit menjadi lemah dan menurut perintah untuk naik ke rumah.
Saya pun memulakan rawatan seperti biasa. Pada malam tersebut, oleh kerana jin dalam badan pesakit sudah sedia lemah kerana dipukul, saya hanya menggunakan kaedah tarik dan beberapa potong ayat ruqyah shaja. Kerja merawat menjadi mudah kerana mungkin jin sudah lemah dalam badan kerana dipukul.
Saya bertanya kepada ayah pesakit bagaimana pesakit boleh kerasukan. Bapa si pesakit menceritakan bahawa anaknya pernah pergi ke hutan untuk menebang buluh. Nak dijadikan cerita, anak dia menebang buluh tersebut waktu dah nak masuk Maghrib. Bila balik ke rumah, lalu kerasukan dan mengamuk. Dalam keadaan meracau itu, ayah pesakit menyangka mungkin jin dari pokok buluh tersebut yang mengamuk dan menyebabkan anaknya kerasukan. Lantas dia mengembalikan buluh tersebut ke tempat asalnya, namun anaknya masih tak kunjung sembuh.
Saya memberi nasihat dan beberapa tips untuk mengelak kerasukan semasa menebang pokok dan adab masuk hutan. Syukur alhamdulillah, mereka dapat menerimanya dan memahami maksud nasihat saya.
Wallahu 'alam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
SALAM UST AJERI,PENGALAMAN YG MENARIK. MASA PUKUL PESAKIT KAT BELAKANG TU, ADAKAH MENGGUNAKAN SEJADAH YANG SAMA ATAU PUKUL DGN TAPAK TANGAN DAN APAKAH AYAT YG DIBACA.HARAP DAPAT PENCERAHAN
BalasPadam