Selasa, 19 Oktober 2010

Pergi Tak Kembali...

Allah mengatur alam dengan cara yang paling indah sekali. Segala-galanya dalam keadan yang tersusun dan harmoni. Allah ciptakan lelaki, maka lawan jantinanya ialah perempuan. Ada gelap dan cahaya, ada lembap dan kering, ada langit dan bumi, dan ada hidup dan mati...

Sebelum saya memulakan penulisan ini, marilah kita bersama-sama beristighfar dengan hati yang tulus dan ikhlas, serta tenangkan fikiran anda semua, bukalah pintu hati anda semua bagi menyelami maksud dan makna di sebalik entry kali ini.

Tengahari tadi, saya dan beberapa rakan ofis, Tuan Wenndy, Airwan, Azry dan Faizul pergi ke Jln Hj Taha untuk makan tengahari di restoran Satay Ceko, yang terkenal dengan keenakan sate dan ayam penyetnya. Asal mula cadangan ialah nak tapau, tapi akhirnya kami duduk dan makan di restoran tersebut, bagi menikmati suasana makan tengahari di luar ofis. Lama juga tak makan tengahari kat luar ofis. Selalunya kami bungkus makanan dan makan di pantry sahaja.

Keenakan ayam penyet yang menjadi menu utama kami tengahari tadi memang tak dapat dinafikan lagi. Sambil makan, kami bersembang pelbagai perkara. Topik perbualan lebih kepada hal kerja, keluarga dan lain-lain. Saya gemarkan suasana seperti ini kerana selain meringankan beban di kepala disebabkan kerja ofis, suasana ini juga mampu menumbuhkan kasih sayang serta mengeratkan lagi hubungan sesama rakan sepejabat.

Usai makan, kami pulang ke ofis, itupun setelah singgah sebentar di Hopoh kerana Tuan Wenndy hendak membeli majalah. Sampai sahaja kami di ofis, saya melihat rakan sepejabat, Aziza berdiri di depan pintu pejabat bos sambil menangis. Aziza meminta izin dari bos untuk pulang. Saya yang sedikit penasaran, bertanya kepada Aziza mengapa dia menangis.

Dia hanya berjalan tanpa menjawab soalan saya...

Aziza merupakan di antara rakan sepejabat yang rapat dengan saya. Suaminya juga rakan baik saya, yang saya kenal baik semenjak di bangku sekolah lagi. Berpewatakan ceria, Aziza sering juga membuatkan suasana ofis menjadi 'kamboh @ gamat' dengan keletah cerianya. Aziza selalu juga berkongsi dan bertukar pendapat dengan saya mengenai beberapa perkara, hal ini kerana Aziza adalah seorang yang berfikiran terbuka dan mudah untuk diajak berbincang.

Satu tabiat Aziza yang sampai sekarang saya masih tak paham ialah kegemarannya yang pelik iaitu suka makan ais batu, sehingga kadang-kadang kalau dia mengunyah ais batu di pantry, saya boleh mendengar dari tempat saya. Pernah juga saya berseloroh dengan dia, mungkin ada jin ais dalam badannya. Dia hanya ketawa mendengar gurauan saya.

Hari ini adalah pertama kali saya melihat Aziza menangis, menyebabkan saya ingin tahu apa puncanya dia bersedih. Saya menghantar BBm kepadanya untuk bertanyakan keadaannya. Aziza menjawab bahawa Nek Usu kesayangannya meninggal dunia, baru sebentar tadi.

Saya terkedu...

Sunnatullah...


Kematian adalah sesuatu yang pasti, yang tidak akan dapat dielak oleh semua ciptaan Allah dimuka bumi ini. Yang muda akan tua, yang sihat akan sakit, dan yang hidup pasti mati. Inilah yang dipanggil sunnatullah, peraturan yang telah Allah atur semenjak azali lagi.

Peristiwa kehilangan orang kesayangan ini pernah saya alami beberapa tahun yang lalu. Saya sendiri, semasa kematian nenda kesayangan, Hjh Seniah merupakan salah satu dugaan hebat dalam hidup saya. Nenda Hjh Seniah merupakan nenek sebelah bapa, berketurunan Jawa Betawi. Nenda Hjh Seniah yang mesra dipanggil Nek Yah sangat rapat dengan cucu-cucunya. Saya merupakan di antara cucu yang paling rapat dengan beliau. Dengan Nek Yah lah, saya mula belajar untuk mengenal solat, huruf-huruf Quran dan ilmu agama. Nek Yah seorang yang sangat warak, dan sangat patuh kepada ajaran agama.

Nek Yah seorang yang sangat lemah lembut. Beliau tidak pernah mencubit atau memarahi cucunya, apa lagi merotan. Cara beliau menegur penuh dengan kasih sayang. Hanya dengan sedikit teguran lembut, mampu membuatkan cucu-cucu malah anak-anaknya menjadi 'cair' dan malu untuk mengulang kesalahan yang sama. Berbeza dengan suaminya, Nenda Hj Basir @ Nek Ncek, sosok tegap berbangsa Minang ini cukup tegas dan 'garang' dengan kami. Kalau bermain waktu sembahyang, alamat berbiratlah belakang badan kena libasan maut tali pinggangnya. Datuk saya ini, cukup pantang kalau mendengar anak-anaknya mengomel @ komplen tentang makanan, alamat kena herdiklah mereka dengan suaranya seperti godzilla tengah kelaparan.Oleh itu, time makan semua anak-anaknya kena senyap. Kalau boleh bunyi jarum jatuh pun boleh dengar. Itulah cerita yang pernah saya dengar dari Wa Bujang,pak long saya merangkap abang kepada ayah saya.

Dua personaliti yang berbeza inilah menjadi sebab untk kebahagian keluarga kami sehingga ke anak cucu. Saya bersyukur dan berbangga dengan datuk dan nenek saya.

Kembali kepada cerita Aziza, Nek Usunya tinggal di rumah pusaka di Jalan Hj Taha, bersebelahan dengan sekolah Chung Hwa. Ketika cuti sekolah, Aziza dan sepupunya akan 'berambeh' (menginap) di rumah Nek Usunya dan bermain masak-masak di situ. Dengan menggunakan peralatan dan permainan biasa, mereka akan bermain di rumah tersebut dalam suasana riang gembira. Ketika air pasang, Aziza dan sepupunya akan bermain air sehingga kotor baju.

Tidak jauh dari rumah Nek Usunya, terdapat sebuah kedai buku. Ketika hendak menyeberang jalan raya, Aziza dan sepupunya akan bergandingan untuk ke kedai buku tersebut, dengan diperhatikan oleh Nek Usunya dari beranda rumah tersebut bagi memastikan cucu-cucu kesayangannya selamat sampai ke seberang jalan.

Namun kini rumah itu sudah tiada lagi disebabkan pembesaran jalan dan pembangunan kawasan Jln Hj Taha. Walaupun demikian, saya yakin kenangan indah tersebut masih terpahat kukuh di dalam minda dan jiwa Aziza dan sepupu-sepupunya...

Kehilangan Nek Usu amat terasa di jiwa Aziza. Saya tahu kerana saya sendiri pernah mengalami apa yang dialami oleh Aziza.

Kenangan bermain dengan sepupu di kawasan rumah nenek di Kpg Stapok, akan tetap saya kenang sampai bila-bila. Agak terpencil dari rumah kampung yang lain, rumah nenek yang sederhana besar itu terletak di tepi hutan dan hanya sebatang jalan yang lalu di kawasan tersebut. Di tepi rumah nenek terdapat kawasan tanah lapang yang besar dan kami kerap bermain bola di situ. Selain itu, kami juga sering barmain police and thief, kayu tiga, main gagak dan lain-lain permainan yang biasa dimain oleh rakan yang sebaya dengan kami pada ketika itu.

Peristiwa dikejar angsa semasa pulang mengaji dari rumah Pak Liman juga masih segar dalam ingatan saya. Kadang-kadang, saya selalu juga tersenyum seorang diri apabila mengenang peristiwa lucu tersebut.

Kehilangan Nek Yah benar-benar menyedihkan saya. Pada ketika itu, saya dalam perjalanan ke Sarikei untuk lawatan tapak. Ketika itu, Nek Yah telah admit di Hopsital Umum Sarawak. Menyangkakan bahawa mungkin Nek Yah akan pulih, saya meneruskan hasrat saya untuk traveling walaupun pada mulanya saya dinasihatkan oleh boss saya untuk emergency leave. Saya enggan mengambil emergency leave kerana menyangkakan bahawa Nek Yah tidak menghidap penyakit kronik, hanya sakit biasa sahaja, itulah tanggapan saya pada masa tersebut.

Namun ketika sampai di Siburan untuk mengisi minyak, ternyata sangkaan saya meleset. Nek Yah meninggal dunia, demikian yang saya dengar setelah menerima panggilan dari Abg Ziezie. Saya rasakan dunia nak gelap. Dengan perasaan yang ditahan-tahan, saya meminta Faizul, teman saya ketika itu untuk menghantar saya kembali ke hospital di Kuching.

Sebaik saya menatap wajah Nek Yah yang kaku, saya meraung sepenuh hati. Saya menyesal kerana tidak bersamanya ketika Nek Yah menghembuskan nafas terakhir. Nenek kesayangan saya telah pergi. Namun menangis air mata darah sekalipun dah tak berguna. Nek Yah telah kembali menghadap Penciptanya.

Sukar juga hendak menerima hakikat kehilangan Nek Yah pada ketika itu. Ayah dan mak berada di Australia semasa Nek Yah meninggal dunia. Sebaik menerima berita buruk itu, ayah dan mak segera bergegas pulang. Ayah paling sedih kerana tidak bersama Nek Yah semasa Nek Yah sakit. Pada ketika itu ayah mengikut mak untuk menghadiri acara kemuncak perhimpunan jururawat sedunia di Australia.

Sepanjang 100 hari kematian Nek Yah, alunan bacaan Quran tidak pernah putus di rumah Kpg Stapok. Kami amat terasa akan kehilangan Nek Yah.

Takdir amat ganjil sifatnya. Sebagai hamba, kita kena belajar untuk menerima takdir. Allah mempunyai hak ke atas para hambaNya, untuk mencorak takdir yang bagaimana yang Dia mahu. Kita hanya mampu pasrah dan berserah dengan ketentuan Allah, hendak melawan, dosalah jawabnya. Namun yakinlah bahawa setiap takdir mempunyai rahsia tersirat yang hanya Allah lebih mengetahui, kerana fikiran kita terlalu dangkal untuk memahami dan mengerti intipati takdir.

Walau apapun, takdir Allah bukanlah bertujuan untuk menzalimi manusia, sebaliknya ia adalah untuk kebaikan dan manfaat kepada manusia itu sendiri.

Belajarlah untuk memahami dan menerima takdir, walaupun ia hakikat yang sukar difahami dan amat pahit untuk ditelan...

p/s: Maaf, mungkin entry kali ini agak emosional sedikit. Namun tujuannya tidak lain, hanya untuk berbagi rasa dan perasaan bersama. Sila komen untuk entry kali ini. Syukran...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan