Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Selasa, 12 Oktober 2010
Sakit Rohani...
Sakit jasad @ badan ramai yang sedar, namun sakit rohani, jarang-jarang manusia sedar. Termasuklah saya sendiri...
Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. Setiap hari kita berdepan dengan pelbagai ragam manusia yang kadang-kadang susah untuk difikirkan malahan sofistikated untuk dicerna oleh akal fikiran kita. Lantas, ada sesetengah orang enggan terlalu memikirkan permasalahan dan tidak mengambil ibrah yang berlaku di sekelilingnya sehingga menyebabkan ia rugi kerana setiap peristiwa mengandungi hikmah yang telah ditakdirkan Allah untuk mengajar manusia mengenai hakikat kehidupan.
Satu pagi semasa dalam perjalanan kerja, saya memarkirkan kereta di Hills Shopping Mall, bangunan baru yang terletak tidak jauh dari pejabat saya. Setelah parkir di sana, saya hanya perlu berjalan kaki kira-kira 5 minit untuk ke bangunan Sommerset Gateway, di mana terletaknya pejabat SPNB. Saya, Azry, Saiful dan Radzi sering juga memarkir kereta di sana kerana bayaran untuk sekali masuk hanya rm 1 berbanding dengan tempat biasa sebelumnya yang mencecah rm 5 untuk satu hari. Lebih jimat dan hemat.
Semasa berjalan kaki ke pejabat, saya terjumpa seorang lelaki Cina yang kerjanya menghantar suratkhabar ke pejabat-pejabat di bangunan Sommerset. Kami sama-sama menunggu lif, dan sebaik dia melihat saya, dia melemparkan senyuman manis kepada saya. Saya membalas senyumannya kembali. Ternyata saya melihat,ada keikhlasan di sebalik senyum lelaki Cina tersebut. Raut wajahnya nampak tenang, mungkin mood atau perasaanya gembira pada pagi itu.
Lelaki Cina itu berhenti di tingkat 4, manakala saya pula berhenti di tingkat 19. Dalam benak fikiran saya, masih terbayang-bayang wajah lelaki Cina tadi. Apa yang menyebabkan wajahnya nampak tenang? Adakah dia gembira dengan pekerjaanya sebagai penghantar suratkhabar? Atau isterinya baru melahirkan anak? Atau baru menang loteri? Entahlah...
Saya memandang peristiwa tadi sebagai satu bentuk pengajaran ke atas diri saya. Saya akui, kadang-kadang timbul perasaan atau mood malas nak datang ke ofis, disebabkan kerja yang berlambak dan tidak pernah putus. Kita berasa lebih senang untuk duduk di rumah menghabiskan masa bersama dengan keluarga, dan dalam masa yang sama, wang sentiasa mengalir masuk ke dalam akaun kita. Kita berasa enggan untuk bekerja tetapi dalam masa yang sama kita mahu duit masuk. Kita merasa berat hati untuk pergi ke tempat kerja kerana jemu dan muak dengan tugasan yang diberikan, ditambah lagi dengan politik ofis yang bukan calang-calang 'bisanya', sehinggakan ada rakan sepejabat main tikam dari belakang tanpa kita sedari.
Kita lebih senang untuk menghabiskan masa begitu sahaja, bermain dan membuat perkara yang kita suka setiap hari tanpa perlu bimbang dengan tugasan dan kerja. Saya yakin, semua orang mengimpikan hidup bebas, tidak tunduk dan bekerja di bawah orang lain. Namun zaman ini menuntut kita untuk bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup, walau dengan apa cara sekalipun, ikhlas atau tidak, kita terpaksa bekerja untuk terus hidup di bumi Allah yang luas ini.
Natijahnya, ramai yang jadi sakit rohani. Yang kaya bertambah kaya, si miskin merempat dan melarat. Kezaliman dan penindasan berlaku secara halus dalam pejabat. Rasuah dan penyelewengan berlaku secara berleluasa. Pihak atasan menindas orang bawahan. Sang ketua a.k.a bos merasa besar, takbur, sombong dan ujub diri. Semua keputusannya wajib ditaati. Idea dan buah fikirannya lebih untuk kepentingan diri sendiri, sama ada untuk keuntungan material mahupun nama.
Manakala orang bawahan pula, lantaran tidak puas kerana penindasan dikenakan ke atas dirinya, menjadi tidak redha dengan takdir dan kehidupannya. Kutuk-mengutuk, caci-mencaci menjadi 'nyanyian' lidahnya saban hari bagi meluahkan apa yang terbuku di hati. Orang atasan dikutuk dan diumpat, konon bagi menyatakan ketidakpuasan hatinya, sedang dalam tidak sedar dia telah melakukan dosa mengumpat.
Belum lagi cerita kawan makan kawan, tikam-menikam dari belakang. Di depan nampak baik, tapi di belakang ia khianat terhadap kawannya. Inilah politik ofis yang berlaku di mana-mana. Golongan agama juga tidak terlepas dari gejala politik ofis ini. Selagi bernama manusia, selagi itu dosa wujud...
Keadaan ini berterusan lagi dan lagi, di mana-mana sahaja, ada dan akan sentiasa ada apa yang dipanggil politik ofis. Keadaan seperti ini amat menyedihkan saya, dan boleh menyebabkan motivasi untuk bekerja menurun dan merudum. Sifat ikhlas bkerja boleh hilang, amanah boleh jadi khianat, dan seterusnya...
Lalu lahirlah manusia yang bekerja hanya untuk makan gaji, bukannya kerana menunai amanah. Datang kerja pukul 8, balik pukul 5. Cukup bulan ambil gaji. Kerja dilaksanakan tanpa sifat ikhlas. Kasih sayang dalam ofis telah hilang, hinggakan wujud suasana kaku, sejuk, jumud dan menyeramkan dalam pejabat, sampai-sampai menyebabkan pekerja tidak betah duduk lama dalam pejabat.
Keadaan ini berlaku terus-menerus di semua tempat, sehingga memaksa saya berfikir, apakah punca masalah ini semua. Meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian yang baik, kerana jika kita resign pun, belum tentu tempat kerja baru itu lebih baik dari tempat kerja lama.
Apa tips untuk mengatasi semua ini? Saya ada beberapa tips @ petua yang saya amalkan untuk dikongsi dengan pembaca semua. Mungkin tips ini tidaklah dapat menyelesaikan masalah penyakit rohani @ politik pejabat seratus peratus, namun saya berpendapat ia sedikit sebanyak boleh menaikkan semangat kerja kita ketika hendak pergi ke pejabat kelak. At least taklah down sangat mood nak turun kerja, kan?
1. Selepas solat Subuh, ciumlah bau-bauan yang harum dan wangi. Ini boleh menaikkan mood dan menguatkan semangat.
2. Berwiridlah dan berzikirlah selepas solat Subuh, jangan sesekali tinggal wirid. Kalau kesuntukan masa, bacalah wirid yang ringkas. Wirid juga boleh dibaca ketika memandu kereta ke tempat kerja.
3. Mendengar muzik dalam kereta, saya cadangkan dengar nyanyian selawat dan Asmaul Husna.
4. Apabila sampai ke ofis, sebaik melangkah ke pintu pejabat, bacalah Bismillah.
5. Lemparkan senyuman kepada semua rakan dalam pejabat, walaupun mood anda kurang baik pada hari itu. Ingat, anda akan dapat apa yang anda beri. Jika anda memberi kebaikan kepada orang lain, insya Allah anda akan dapat balasan baik juga.
6. Pedulikan apa orang lain kata tentang diri anda. Kalau orang puji, ucap terima kasih dan pujilah Allah. Kalau orang kutuk, persetankan mereka!
7. Ini paling penting dan paling berat nak dibuat, MAAFKAN MEREKA YANG PERNAH MENYAKITI HATI ANDA. (semoga Allah permudahkan saya memaafkan orang yang menyakiti hati saya...)
8. Berakhlak baiklah sesama rakan sepejabat. Bertuturlah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.
9. Kepada ketua-ketua unit atau jabatan, kalau nak suruh orang bawahan buat kerja, suruhlah dengan tingkah laku dan akhlak yang baik. Jangan memerintah dengan suara yang keras. Walaupun anda seorang ketua, anak buah anda berhak mendapat layanan baik seperti anda juag. Mereka adalah manusia, bukan hamba abdi atau binatang.
10. Jangan khianat. Tunaikanlah amanah yang diberikan dengan baik.
11. Persetankan orang yang cuba menjatuhkan anda. Allah adalah sebaik-baik tempat sandaran, bukan boss dan lain-lainnya.
12. Jika ada pengampu di ofis anda, biarlah dia hanya sekadar seorang kawan. Jangan kongsi rahsia anda dengannya.
13. Simpan dan tutup aib kawan-kawan anda. Jangan sebarkan. Jika anda melihat rakan anda melakukan kesalahan, tegurlah dengan hikmah. Ajak dia duduk bersama dan jauh dari orang lain. Jangan tegur kesalahan rakan anda di depan staf-staf pejabat yang lain.
14. Banyakkan berdoa. Jika anda rasa anda ada buat kesalahan dengan rakan sepejabat, mintalah maaf kepadanya. Turunkan ego anda. Anda tidak akan terhina kerana meminta maaf.
Wallahu 'alam...
(Suatu ketika, saya melihat seorang lelaki gila sewaktu berjalan di India Street. Semasa saya sedang mencari barang, di celah-celah orang ramai itu, saya terlihat orang gila tersebut menyanyi, berteriak dan bercakap seorang diri. Orang ramai tidak mempedulikan orang gila tersebut. Ye la... orang gila, apa yang specialnya?
Terfikir dalam benak fikiran saya, alangkah bahagianya orang gila ini, dia tidak perlu bekerja, kehidupan dan rezekinya dijamin Allah, cukup dengan belas ihsan orang ramai, dia tidak perlu stress memikirkan urusan kerja di pejabat, dia tidak berhasad dengki dengan orang, dan orang juga tidak mempedulikannya, dia tidak perlu menanggung dosa, disebabkan dirinya yang kurang siuman, syarak telah menetapkan dia terlepas dari perintah agama. Dia hidup dalam dunianya sendiri, ketawa seorang diri, menangis seorang diri... ternyata, orang gila juga memiliki kebahagiaannya yang tersendiri...)
Renunglah dengan matahati anda...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
satu catatan untuk kesedaran dan pengajaran diri.... aku sgt bsyukur dapat mndapat sahabat mcm dirik ji..... hanya Allah saja yang boleh mmbalas jasa dirik.....
BalasPadamE, aku bersyukur kpd Allah krn menemukan kau ngan aku di sitok. Mudahan persahabatan kita berkekalan sehingga ke akhirat.
BalasPadam