Ahad, 6 Februari 2011

Rasukan Jin Asyik...


Tajuk cerita di atas sudah banyak kali dibaca malah diceritakan oleh perawat-perawat Islam selain saya dan Wan Sudirman. Malah Yang Dikasihi Ust Majid pun selalu juga menerangkan dan berkongsi pengalaman beliau dalam menangani masalah kerasukan jin asyik. Seperti yang kita sedia maklum, jin asyik adalah disebabkan jin sama ada jantan atau betina jatuh cinta kepada manusia yang berlainan jantina. Belum pernah pula saya dengar kisah jin gay atau lesbian.

Beberapa minggu lepas, saya merawat seorang pelajar tingkatan 3 yang terkena rasukan jin asyik. Bertempat di perumahan Surabaya Indah, dalam hujan lebat itu saya dan anak buah saya, Fikri pergi ke rumah pesakit dengan dipandu oleh sepupu kepada pesakit. Wan Sudirman tidak dapat join sama kerana ada appointment lain.

Setibanya di rumah, saya interview si pesakit. Melalui kedua orang tuanya, pelajar ini mula berubah sikap ketika pulang dari berkelah di sebuah pantai tidak jauh dari Santubong. Sejak hari itu, si pelajar sering mengalami sakit pinggang ke bawah bahagian belakang (ini merupakan salah satu simptom wajib yang dihidapi oleh pesakit jin asyik), kemurungan, sering menangis tengah malam, enggan solat, tidak terurus dan sering bermimpi. Ketika saya bertanya tentang apa yang dimimpi, si pesakit tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Saya tutup sesi interview dan menyuruh pesakit berwudhu' dan menyiapkan diri dengan menutup aurat.

Fikri yang duduk di sebelah saya hanya hadir sebagai pemerhati, namun saya nampak dari riak mukanya yang dia juga agak gelisah melihat situasi si pesakit. Fikri amat berminat mempelajari ilmu rawatan Islam, namun saya berpesan kepadannya agar bersabar dahulu, elok lebih tumpukan perhatian kepada sekolah dan pelajaran. Ilmu rawatan Islam boleh belajar kemudian. Namun saya juga ada mengajarnya sedikit ayat daripada rawatan Islam untuk bekalan dirinya, dan saya juga mengajarkannya Ratib Al Attas untuk amalan harian.

Setelah pesakit bersedia dengan duduk melunjur, saya beri dia minum air ruqyah. Fikri sudah bersedia untuk membantu jika pesakit menggelepar. Saya mula dengan istighfar. Baru sahaja saya meletakkan tapak tangan pada dahi pesakit untuk memulakan ruqyah, si pesakit sudah menjerit kepanasan dan menangis meraung-raung. Laaa, belum mula ruqyah lagi dah sakit? Saya meneruskan dengan sesi dialog.

Si pesakit meraung dengan raungan panjang yang membingitkan telinga. Jin enggan memberi kerjasama. Pesakit meronta-ronta sehingga 3 lelaki bertubuh besar diperlukan untuk menahannya.Setelah diseksa dengan beberapa ayat azab, barulah jin mengaku bahawa dia sukakan si pesakit. Kemudian, jin tersebut diam kembali apabila saya menanyakan tentang agamanya. Di sini saya bertanya dengan menggunakan isyarat jari tangan. Alhamdulillah berhasil. Jin yang merasuk adalah kafir dan jenis jantan.

Hampir pukul 11 malam, hujan sudah pun reda, namun si pesakit belum reda. Ikhtiar terakhir, saya guna pula kaedah pukul pakai sejadah. Jin tersebut kesakitan walaupun saya hanya memukul dengan lembut sahaja, hanya cukup syarat memukul. Setelah angkat sumpah dibuat, jin tersebut keluar setelah azan dilaungkan. Apa yang saya agak terkilan, jin tersebut enggan masuk Islam setelah saya menawarkan syahadah kepadanya. Takpelah, tiada paksaan dalam agama.

Alhamdulillah, pesakit tersebut pulih dan sedar dari pengsannya setelah dibacakan beberapa potong ayat suci Quran dan doa. Seperti biasa, saya sediakan limau nipis dan air penawar untuk mandian dan minuman si pesakit. Saya juga menasihatkan si pesakit agar menjaga adab sebagai muslimah, menjaga solat, menutup aurat dan melazimi bacaan Quran.

Kami pulang setelah membuat pemagaran rumah seperti yang dipinta oleh tuan rumah. Kaedah pemagaran rumah pun saya hanya menggunakan air yang diruqyah untuk direnjis dalam rumah dan isyarat tangan dan doa untuk luar rumah kerana ketiadaan bahan. Alhamdulillah, terima kasih atas bantuan Mu, Ya Allah.

Wallahu'alam bissawab...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan