Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Khamis, 14 Julai 2011
Saka Sekeluarga...
Assalamualaikum, lama dah tak buat entri tentang rawatan. Maklumlah, bila cerita bab rawatan, tidak lain mesti banyak kes seperti kerasukan, histeria, sihir, santau dan sebagainya. Namun untuk tidak menghampakan peminta-peminat cerita mistik atau perubatan, pada entry kali ini saya akan menyajikan satu kisah rawatan yang berlaku 2 3 bulan yang lepas. Sahabat saya, Wan Sudirman selalu juga mengingatkan saya supaya memuatkan kisah ini dalam blog saya. Baru sekarang saya dapat menulis kisah ini kerana kesibukan tugas.
Pesakit ini pernah mendapatkan rawatan daripada kami berdua sebelum ini. Kali ini si pesakit membawa kami merawat keluarganya juga kerana kebanyakan ahli keluarganya sering sakit-sakit, malah pernah juga kerasukan tanpa sebab. Setelah mendengar serba sedikit cerita latar belakang keluarga pesakit, kami mendapati bahawa mungkin ada gangguan saka kerana si pesakit ada menceritakan ibunya pernah pergi ke laut pukul 1 pagi untuk menangkap ikan seorang diri. Dikatakan juga semasa sakaratul maut, si ibu sering berteriak dan melolong, menyumpah dan mencarut ketika ditenangkan oleh anaknya. Paling dahsyat, apabila disuruh mengucap, si ibu menyumpah dan mencarut sehingga tidak sanggup untuk didengar.
Setelah bahan disedia, saya dan Wan berbahagi tugas. Mendoakan bahan dilakukan oleh Wan. Hampir 2 kotak air mineral jenis botol besar disediakan, dan juga beberapa botol air yang lain. Berbungkus-bungkus limau nipis juga disediakan kerana hampir 13 ke 15 orang ahli keluarga terlibat dalam sesi rawatan pada malam tersebut. Jenuh juga sahabat saya meniup bahan-bahan tersebut. Saya sendiri meruqyah kesemua keluarga pesakit tersebut dengan bacaan jahar.
Setelah beberapa potong ayat suci dan doa dibacakan, seorang demi seorang mula tumbang dan kerasukan. Keadaan dalam rumah menjadi gawat seketika. Dari yang dewasa sehingga ke anak kecil, hampir kesemuanya kerasukan. Wan segera menghulurkan bantuan dengan melakukan ruqyah khusus selepas beliau mendoakan bahan.
Saya sendiri mula melakukan dialog dengan salah seorang daripada keluarga pesakit.
Saya : Awak siapa?
Pesakit : (geleng kepala, mungkin enggan bercakap).
Saya kelar bahagian belakang pesakit dan membaca 'Bismillahi mutakabbirin 'anid...' berulangkali.
Pesakit menjerit kesakitan.
Pesakit : Sakit! Sakit! Tolong jangan buat lagi. Tolong ustaz.
Saya : Kalau taknak sakit, bagi kerjasama. Awak siapa? Kenapa masuk dalam badan dia?
Pesakit : Aku suka kat dia. Aku dah lama nak kat dia.
Saya : Sekarang awak keluar. Dia dah taknak kat awak. Awak Islam ke kafir?
Pesakit : Saya Islam...
Saya : Seorang Muslim tidak boleh menzalimi saudaranya yang lain. Awak mesti keluar sekarang. Pesakit ni sendiri tak redha awak duduk dalam badan dia.
Jin tersebut terdiam, kemudian menangis teresak-esak. Jin setuju untuk keluar dengan menganggukkan kepalanya.
Saya membaca ayat tarik jin dan mengeluarkan jin tersebut dari badan pesakit. Semuanya dengan izin Allah.
Wan masih meneruskan rawatan. Beliau menggunakan beberapa kaedah yang beliau pelajari dari Darussyifa. Alhamdulillah, pesakit sedar dari kerasukan dengan izin Allah.
Kami memberi penerangan dan sedikit tazkirah kepada keluarga pesakit agar menjaga adab-adab Islam, dan juga mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga solat dan mengamalkan zikir serta bacaan Quran.
Kami pulang setelah selesai. Segala Puji Bagi Allah, semuanya atas izin dan rahmat Dia Yang Maha Besar....
TAHNIAH KEPADA SAHABAT SAYA, WAN SUDIRMAN BIN WAN SU, ATAS KEJAYAAN BELIAU MENAMATKAN PENGAJIAN PERUBATAN ISLAM DARUSSYIFA. BELIAU TELAH DIIJAZAHKAN ILMU PERUBATAN ISLAM DARUSSYIFA OLEH TUAN GURU DATO HARON DIN BARU-BARU INI. SEMOGA BELIAU TERUS KOMITED DALAM BERDA'WAH DAN MEMBANTU MASYARAKAT KHUSUSNYA DI KUCHING YANG TERCINTA INI. KEPADA SESIAPA YANG INGIN MENDAPATKAN RAWATAN DARIPADA BELIAU, BOLEHLAH MENGHUBUNGI BELIAU DI TALIAN 013-5533433 ATAU LAYARI BLOG BELIAU DI www.simaas.blogspot.com.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan