Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Selasa, 19 Julai 2011
Terapi Quran, terapi yang sangat menyembuhkan...
Kalau dilihat dari tajuk di atas, mungkin dah selalu sangat kita baca aatau dengar dari kuliah-kuliah di masjid. Bagi perawat Islam pula, terapi al-Quran amat sinonim dengan ruqyah dan rawatan-rawatan terhadap penyakit mistik dan ghaib seperti sihir, rasuk, saka dan sebagainya.
Namun di sini saya ingin mengajak pembaca semua untuk menyelam ke dasar yang jauh lebih dalam tentang Al-Quran. Kitab suci yang amat tersohor ini bukan sahaja terkenal di kalangan umat Islam tetapi penganut agama lain juga mengenali kitab ini, khususnya penganut dari kalangan agama langit. Kitab yang sudah menjadi pegangan, panduan, bacaan, lantunan lagu oleh setiap pembacanya semenjak beribu tahun yang lalu, namun ajaibnya tidak ada satu pun waima sepatah ayat-ayat yang terkandung dalam kitab suci tersebut berubah sama sekali.
Kalau diimbas kenangan lalu, saya mula mengenali huruf-huruf Al-Quran dengan membaca muqaddam seawal usia 6 tahun. Ketika itu saya bersama keluarga bermastautin di Limbang, dan guru pertama saya ialah jiran sebelah rumah yang saya lupa namanya. Kelancaran, kefasihan dan kepantasan saya menangkap dan mempelajari Al-Quran (sudah tentu dengan izin dan rahmat Allah, alhamdulillah) telah membolehkan saya untuk mula membaca kitab suci ini ketika berusia 7 tahun. Ketika itu, di kalangan budak mengaji, sesiapa yang sudah 'naik Quran' dikira budak pandai atau budak terer, kerana mempelajari Quran melambangkan kemuliaan bagi si pembacanya.
Tahun berganti tahun, seiring bertambahnya usia, bermakna makin bertambahlah tanggungjawab. Kesibukan kerja, kadang-kadang menculaskan saya untuk istiqamah dalam membaca Al-Quran. Kalau dulu saya sering melazimkan bacaan Quran selepas solat Subuh dan Maghrib, kini menjadi pas-pasan sahaja. Sering juga terlintas dalam hati, "Sunat je. Nanti-nanti boleh baca..." Lintasan ini yang sering hadir dalam benak fikiran saya ini seakan-akan menjadi alasan untuk saya mengabaikan bacaan Quran. Lain pula hadirnya satu suara dalam hati "...kalau baca Quran tak tau makna pun buat apa?" Kelemahan iman menjadikan saya semakin jauh dari mengistiqamahkan bacaan Quran setiap hari. Natijahnya, saya semakin jauh dalam melazimkan diri dengan amalan sunat, khususnya tilawah Al-Quran.
Kesan daripada jarang membaca Quran juga menjadikan hidup semakin hari semakin menyesakkan dada, tekanan kerja yang tidak pernah habis, masalah itu dan ini dan macam-macam lagi. Hanya yang fardhu sahaja dijaga, sedangkan amalan sunat semakin berkurangan. Ini amat menggusarkan hati saya. Sehinggalah satu hari, saya beroleh 'pencerahan' di Darussyifa Sarawak, ketika menghadiri kuliah tauhid bersama dengan sahabat saya Wan Sudirman.
Ustaz Akram yang memberi kuliah pada malam tersebut merupakan Penasihat Darussyifa negeri Sarawak. Selain mengajar tauhid, beliau turut menyelitkan sedikit nasihat untuk menjadi pegangan jemaah yang menghadiri kuliah tersebut. Pada malam itu, beliau memberi nasihat peri pentingnya membaca dan mentadabburi Al-Quran. Nasihat beliau amat memberi kesan kepada jiwa saya. Sejak itu, saya mula 'memaksa' diri saya untuk berdisiplin dalam membaca Quran setiap selepas Subuh dan Maghrib berserta maknanya sekali.
Alhamdulillah, setiap godaan yang cuba untuk melemahkan saya membaca Quran ditepis dengan doa dan memohon rahmat daripada Allah Azzawajalla. Saya berkeyakinan bahawa setiap ibadah yang kita buat bukanlah dari kudrat kita semata-mata namun hakikatnya dari izin Allah jua. Ini penting kerana kita kena tahu bahawa setiap solat, zikir dan amal ibadah kita yang lain berlaku adalah atas rahmat dan belas kasihan Allah, bukan dari kekuatan kita sendiri.
Saya menemui kelazatan dalam membaca Al-Quran. Kini saya kembali menemui apa yang pernah hilang daripada diri saya satu ketika dahulu, iaitu nikmat membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran. Hati menjadi semakin tenang, malah dengan mentadabburi Quran saya menemui beberapa formula dan jawapan bagi segala macam permasalahan hidup.
Al-Quran, bukan sekadar ruqyah untuk mengubati penyakit kerasukan, sihir dan penyakit-penyakit lain, tetapi Quran adalah Huda (petunjuk) bagi yang hilang sesat dalam perjalanan hidup. Al-Quran adalah As-Syifa (penyembuh) bagi segala bentuk penyakit rohani dan jasmani, khususnya penyakit hati. Hidup dengan Al-Quran menjadikan hati lebih tenang, dan kita akan semakin memaknai hidup. Insya Allah. Dengan Al-Quran juga kita akan menjadi 'keluarga Allah' di kalangan manusia. Setiap patah dan ayat suci yang kita baca menjadikan kita sentiasa berkomunikasi dengan Tuhan Yang Maha Tinggi. Aduhai, indahnya perasaan ini. Ingin sekali saya berkongsi rasa hati ini dengan pembaca sekalian, bagaimana indah dan nikmatnya rasa hati setelah menjiwai Al-Quran. Namun apakan daya, hanya yang empunya diri sahaja akan tahu indahnya nikmat tadabbur Quran jika mengamalkannya.
Bulan Ramadhan hampir tiba. Bulan ini juga dikenali dengan nama bulan Al-Quran. Sempena bulan suci ini, bersamalah kita meraikan 'pesta ibadah' ini dengan tadarus dan tadabbur Quran. Bermulalah dari sekarang. Jangan menyesal di kemudian hari. Semoga dirahmati Allah.
Tips untuk mula membaca Al-Quran.
1. Baca Quran pada ketika waktu tenang, disarankan membaca pada ketika selesai solat Subuh atau Maghrib.
2. Semasa membaca Quran, bacalah dengan tenang. Buang jauh-jauh fikiran yang mengganggu jiwa.
3. Untuk pemula, bacalah dalam 5 ke 10 ayat dahulu. Kalau baca panjang-panjang dikhuatiri akan cepat bosan.
4. Baca makna Quran dengan penuh penghayatan. Kitab tafsir dan terjemahan Quran amat membantu anda untuk menghayati apa yang anda baca.
5. Jangan khuatir dan bingung jika anda mendapati terjemahan ayat Quran yang anda baca kadang-kadang mengelirukan anda. Bersabarlah dan bawa bertenang. Bertanyalah dengan orang yang ahli dalam Al-Quran jika anda kurang jelas dengan maksud ayat yang anda baca.
6. Digalakkan membaca Al-Quran dalam suasana yang berwangi-wangian. Maksudnya, ketika membaca Quran hendaklah anda memakai minyak wangi atau membakar gaharu yang wangi (bukan kemenyan busuk) untuk membangkitkan suasana.
7. Ajak keluarga atau kawan-kawan untuk membaca Quran secara bersama. Suami isteri juga boleh saling memeriksa bacaan masing-masing. Tips ini sering saya lakukan bersama dengan isteri saya. Membaca Quran secara berjemaah sangat membantu dalam membangkitkan motivasi seseorang.
Semoga bermanfaat!
P/S: Tips dan artikel di atas, saya IZINKAN untuk anda 'copy and paste' ke blog atau sebarkan kepada rakan-rakan yang lain. Cuma saya mohon agar dilinkkan blog saya ini sekali ketika anda berbuat demikian. Syukran.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan