Khamis, 20 November 2008

Puaka Niyang Rapik

Menonton cerita seram merupakan satu dari kegemaran saya. Sekarang ni Tv3 telah menyiarkan sebuah lagi tayangan televisyen terbaru, Puaka Niyang Rapik yang dimainkan setiap hari Khamis jam 9.30 malam. Sebelum drama ini, cerita Kekasihku Seru mendapat rating dan sambutan yang tinggi dari penonton seluruh Malaysia. Ketika saya melawati http://www.tv3.com.my/, saya membaca banyak komen memuji cerita Kekasihku Seru yang menarik dan menghiburkan.


Teringat ketika dulu, Malaysia mengharamkan tayangan berunsur tahyul, ganas dan lucah. Cerita-cerita seperti ini tidak dibenar disiarkan di saluran-saluran perdana Malaysia. Namun, sekarang peraturan tersebut sudah dilonggarkan. Maka, siaran tv kita dibanjiri dengan cerita-cerita dari 3 unsur tadi. Di antara yang paling banyak ialah cerita yang berunsur tahyul.Expose Mistik, Misteri Nusantara, dan sekarang, Puaka Niyang Rapik adalah di antara cerita-cerita hantu yang hendak 'disuapkan' kepada rakyat Malaysia. Walau ramai yang beranggapan bahawa tayangan seumpama ini tidak membawa kesan positif kepada minda masyarakat, saya melihat ia dari aspek yang positif, walaupun saya yakin bahawa mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya.



Ingin saya mengulas tentang Puaka Niyang Rapik, yang sekarang menjadi tayangan meletup di seluruh Malaysia. Apa yang saya lihat, cerita ini agak slow, tidak banyak kejutan atau 'boom factor' yang dapat mengujakan penonton dalam cerita tersebut. Apa yang menarik bagi saya, cerita ini mengisahkan sebuah kampung yang bernama Niyang Rapik dilanda masalah aqidah yang kronik, yakni kepercayaan kepada kuasa ghaib dan perkara-perkara tahyul yang karut dan tidak berasas. Tidak mustahil, masih wujud kampung yang mengalami masalah yang sama, mempercayai kuasa bomoh melebihi kuasa ALlah itu sendiri. Hantu raya, pontianak, toyol dan jin-jin yang menjadi elemen ngeri dalam cerita tersebut sebenarnya memang wujud dalam masyarakat Melayu. Bagi saya, hanya unsur inilah yang menjadikan cerita tersebut menarik, kerana ia memang ada dan wujud dalam budaya mistik orang Melayu.


Sesuatu drama, filem atau cerita akan menjadi menarik dan hebat jika cerita tersebut diunsurkan kepada cerita benar atau realiti, kerana sebenarnya inilah yang dimahuakan oleh audien.Cuma satu yang saya tidak puas hati, iaitu watak ustaz. Saya kurang berkenan dengan Ashraf Muslim memegang peran ustaz dalam cerita tersebut. Berwajah jambu, dan bukan dari latar belakang agama dalam kehidupan sebenar menjadikan watak beliau menjadi goyang dan tidak hidup. Saya yakin Ashraf dipilih untuk watak tersebut kerana hendak mewujudkan satu adengan cinta antara dia dengan Wirna, anak perempuan pasangan bomoh Tok Dalik dan Bok Miah. Apabila ini terjadi, maka konflik akan berlaku lalu menjadikan cerita tersebut semakin saspen dan tegang. Mungkin itu idea pengarah cerita tersebut, Ahmad Idham.

Apa-apa pun, saya memang tidak setuju Ashraf Muslim jadi ustaz...

1 ulasan: