Rabu, 17 Disember 2008

Antara Silat Dengan Pengapit

Pagi, 8:30 a.m

Di feri Muara Tuang, saya terjumpa Yon, partner seperguruan silat dengan saya. Dia sedang dalam perjalanan ke SMK Asajaya untuk kerja. Yon bekerja sebagai seorang guru di sekolah tersebut. Walaupun musim cuti sekolah, Yon diarahkan hadir pada hari ini sebagai giliran untuk kerja-kerja am di pejabat sekolah.

Sementara menunggu feri sampai ke seberang, kami berbual-bual mengenai banyak perkara. Selalunya kami berbual tentang silat, hal-hal perguruan Betawi, bisnes dan lain-lain. Yon memaklumkan kepada saya ada pertandingan silat seni di Masjid Jamek pada 27hb ini, dan ada persembahan silat di Dewan Rumpun Silat Sarawak pada 10hb Januari dengan disaksikan oleh Tun Rahman. Yon mengajak saya untuk menyertai pertandingan dan persembahan tersebut.

"Tapi kamek dah lamak sik turun gelanggang, Yon. Keras dah badan tok. Dapat ndak kah main bunga agik." Ujar saya.

"Kamek pun sama juak. Perut dah nait, terpaksa start jogging tok. Cikgu Ali nyuruh kamek main bunga solo. Kamek kira nak nyuruh kitak main. Dapat sik?" Yon menyoal saya.

Saya terdiam. Saya tidak dapat memberi kata putus terlebih dahulu. Dah lama saya tidak berlatih silat. Kalau turun ke gelanggang pun sekadar melihat pelajar lain praktis. Entahlah, semenjak mula kerja di Muhandis, tidak banyak masa dapat diluangkan untuk aktiviti luar seperti silat. Memang padanlah badan naik mendadak. Jarang bersukan.

Saya katakan kepada Yon saya akan beri kata putus dalam beberapa hari lagi. Bersilat memang kegemaran saya semenjak kecil. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah ia baik untuk kesihatan kerana silat juga merupakan satu bentuk senaman. Silat adalah kebanggan saya, kerana sebagai Melayu beragama Islam, saya berpendapat wajib bagi saya memelihara warisan bangsa seperti silat ini.

Saya mula mempelajari silat semenjak tingkatan 2. Bermula dengan Silat Helang Putih Perkasa, saya mula belajar untuk berpencak di bawah asuhan Cikgu Hussein. Cikgu Hussein memang pandai mengajar. Kelas silat yang diadakan beliau mendapat sambutan ramai. Beliau bijak menyampaikan ilmu sehinggakan semua murid berasa seronok belajar silat dengan beliau.

Seterusnya, semasa di Kolej Abdillah, saya mempelajari Seni Silat Banteng Betawi dengan Cikgu Rodian. Beliau merupakan Guru Utama perguruan ini. Saya amat suka dengan bunga dan pukulan dalm Silat Banteng Betawi kerana amat cantik dan unik. Teringat saya dengan komen Allahyarham Aziz (kawan saya yang sama belajar silat Helang Putih Perkasa. Aziz meninggal dunia kerana lemas di air terjun Sebat, di Sematan). Aziz mengatakan bahawa saya lebih sesuai bermain silat Banteng Betawi kerana sesuai dengan 'pembawaan' dan postur tubuh saya.

Ketika di Politeknik pula, saya belajar silat Gayung Fatani Kelantan, tetapi tidak lama. Dan lebih teruk lagi, saya dah tak ingat lagi corak permainan silat tersebut. Sijil memang ada. Tapi kalau disuruh bermain memang fail.

Pengakhiran kembara saya dalam mendalami ilmu silat ialah Seni Silat Betawi, yang diasaskan oleh Ayahanda Tuan Guru Imam Hj Zainuddin bin hj Adenan. Di gelanggang ini saya diasuh oleh cikgu Ali, iaitu anak kepada Tuan Guru Imam Zainuddin. Di gelanggang inilah saya bertemu dengan Yon, partner keras saya dalam perguruan ini.

Habis cerita tentang silat, sekarang saya ceritakan pula tentang panggilan telefon dari Iswandy, kawan sama sekolah saya di Kolej Abdillah.Iswandy berhajat meminta saya menjadi pengapitnya di hari perkahwinan 29hb kelak. Sebenarnya saya dah malas nak jadi pengapit, maklumlah, asyik jadi pengapit orang lain saja. Kadang-kadang terfikir juga bila lagi saya nak 'diapit'.

Tapi bila mengenangkan kawan, saya akur juga. Saya didik hati dengan mengikhlaskan niat untuk membantu Iswandy. Iswandy berasa gembira dengan kesanggupan saya.

Mudahan Allah memberi 'berita baik' kepada saya dalam masa terdekat ini. Amin...





1 ulasan:

  1. salam...wah seronok bena dgr cerita silat ktk..kmk pn pesilat juak tp silat cekak hanafi n aktif masa unimas..ms tok sik lg..biar abangda jak bersilat sbb nya jurulatih kanan helang putih..tp kmk mm da nga dak betawi main..mmg silat ya unik n lain dr lain..
    keep it up la oh..sapa gk sik pjuangkan silat mn sik org melayu kita tok..bgus urg muda2 kdak ktk tok bersilat..byk kwn bah..
    see u this january la klk mn ktk bersilat juak la..

    BalasPadam