Perjalanan Isra' dimulakan. Sahabat saya Jalot dan Wan Sudirman menjemput saya selepas Maghrib malam tadi untuk menghadiri ceramah di kampung Tabuan Cemerlang, Tabuan yang disampaikan oleh Ustaz Azmi. Ustaz Azmi adalah di antara ustaz yang paling rapat dengan kami. Beliau orang Melaka, tetapi telah lama menetap dan berumahtangga di Kuching.
Kami sampai kira-kira jam 7:40 mlm. Parking sukar dicari, kerana untuk ke surau tersebut kami terpaksa melalui jalan titi. Rumah-rumah di kampung ini dihubungkan dengan titi kerana boleh dikatakan bahawa kampung Tabuan Cemerlang ini terletak di kawasan berair atau lebih tepatnya di sungai. Jalot meletak keretanya di tepi jalan besar,dengan hati yang agak gusar kerana Tabuan memang kawasan 'hitam', dengan gengsternya,pecah rumahnya,masalah sosialnya dan lain-lain. Namun hati kami dilegakan oleh seorang pemuda kampung yang kebetulan ada di tepi jalan tersebut meyakinkan kami bahawa tempat Jalot parking kereta itu selamat. Kami berserah kepada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada pemuda bernama Ady tersebut.
Kedengaran suara ust Azmi berceramah dengan lantang di corong surau. Beliau berceramah sempena Isra' Mi'raj, program tahunan yang dianjurkan oleh surau Tabuan Cemerlang. Kami disambut dengan mesra oleh penduduk kampung, senyuman dan salam mereka menyejukkan hati kami yang datang bertandang di surau tersebut.
Jemaah mendengar dengan khusyuk apa yang disampaikan oleh ust Azmi. Beliau memang bijak menyampaikan ceramah. Banyak cerita menarik disampaikan hingga ada request dari jemaah surau minta diextendkan lagi ceramah walaupun azan Isyak telah berkumandang. Demikianlah yang saya lihat, walau kampung ini daif dan terpencil, namun semangat dahagakan ilmu dan Islam jelas terpancar di wajah mereka. Kanak-kanak pun terpukau mendengar ceramah ust Azmi, sehingga boleh dikatakan tidak ada yang berganjak dari tempat duduk semata-mata menanti apa cerita yang seterusnya akan disampaikan oleh ustaz. Saya amat berharap agar generasi baru dan muda penduduk kampung ini akan subur semangat Islamiahnya dan akan berusaha untuk memajukan diri dan kampung mereka di masa hadapan.
Selesai ceramah dan solat Isyak, kebetulan terjumpa pula dengan Ust Ijan dan Ust Yasir. Mereka merupakan rakan usrah saya juga namun dari murabbi yg berlainan. Ust Ijan dan Ust Yasir juga aktif dalam bidang perubatan ruqyah syar'iyyah, dan kami sempat bertukar pendapat dan idea mengenai rawatan Islam. Ust Ijan memaklumkan saya sekarang begitu ramai orang minta dirawat untuk kes seperti sihir, rasuk dan sebagainya sampaikan beliau tak menang tangan. Beliau minta no handphone saya agar memudahkan perhubungan jika ada kes emergency seperti kerasukan. Beliau akan beri kes kepada saya jika beliau tidak banyak masa untuk merawat. Saya bersetuju untuk menolong beliau.
Timbul pula isu kaedah tangkap jin dan simpan dalam botol. Kami berbincang mengenai teknik tersebut namun saya tidak dapat nyatakan di sini apa ulasan dan hasil perbincangan kami pada malam tersebut khuatir timbul fitnah.
Selesai majlis, kami bergerak meninggalkan surau dan menuju ke Bimmers, untuk makan berat dan minum dengan ust Azmi. Di surau tadi cuma makan kuih, saya perlu makan nasi kerana lapar yang teramat sangat.
Mi'raj di Gita pula berlaku pada jam 2:30 pagi. Saya, Jalot dan Wan Sudirman pergi ke Masjid At Taqwa untuk mengikuti program qiamullail yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid. Qiamullail ini diimami oleh ust Hashim Man al Hafiz, imam besar masjid At Taqwa Gita. Alunan bacaan Quran dalam solat Tahajud dan taubat benar-benar mengusik relung hati saya, terasa haru dan sayu apabila diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk berqiamullail. Sungguh, nikmat qiamullail sangat indah dan lazatnya hanya dapat dirasa oleh hati dan jiwa. Gemuruh bacaan tasbih oleh jemaah ketika solat sunat Tasbih juga menyebabkan saya 'melayang ke alam malakut' buat seketika walaupun dalam masa yang sama kantuk turut menyerang kerana tidak cukup tidur. Saya gagahkan jua kerana tidak mahu 'miss' peluang keemasan untuk 'munajat cinta dengan bening hati' bersama Ilahi pada ketika itu. Memang indah qiamullail di saat itu di mana semua orang melantunkan doa dan zikir dengan harapan semoga Allah mendengar (dan sesungguhnya memang Allah Maha Mendengar) doa-doa mereka untuk dikabulkan. Saya juga tidak ketinggalan untuk berdoa sama seperti mana yang dihajatkan.
Usai solat Subuh, kami mendengar ceramah dari ust Kipli Yassin pula. Beliau mempunyai syarikat perunding rumahtangga sendiri, dan sangat bergerak aktif dalam menyampaikan ceramah motivasi dan rumahtangga. Tajuk ceramah juga berkenaan dengan Isra' Mi'raj.
Terbit matahari pagi, selesai ceramah kami memecut MyVi Jalot ke Bismi Cafe, destinasi wajib dan menjadi tempat 'mabit' yang 'rukun' untuk jemaah masjid dan surau yang berdekatan. Kami pekena teh halia, teh tarik, roti tosai, roti canai dan rojak India. Perghh, memang sodap bak kata org Nogori. Heheheehe...
Sesampainya saya di rumah, kelihatan bonda kesayangan, Hjh Fatimah sedang berkebun dan menyiram bunga. Ayah mungkin tidur sekejap selepas solat Subuh tadi. Selepas saya mandi, ibu menunjukkan saya sebiji tembikai lalu berkata,
"Rezeki Allah, alhamdulillah njadi (menjadi) juak (juga) nok (yang) ditanam mak..."
Saya tersenyum dan mengucap syukur. Ibu memang gemar berkebun, mungkin ibu mewarisi dari nenek, Allahyrham Hjh Menah yang hidup dan menyara dua anaknya dengan berkebun. Ibu banyak mengisi masanya dengan berkebun semenjak bersara tahun lepas. Walaupun dulu ibu seorang pegawai kerajaan yang tinggi dan berpangkat besar (beliau pernah menjadi Pengarah Hospital Lundu), namun sifat 'kekampungan' masih ada dan utuh di dalam jiwanya. Ibu tidak pernah melupakan asal-usulnya, Kampung Boyan yang terletak di tebing sungai Sarawak.
Hari ini, ibu saya, mak saudara, abang dan 2 adik saya akan berangkat untuk mengerjakan umrah. Mereka bakal berangkat pada malam ini bersama dengan jemaah yang lain, dan dipimpin oleh ust Azmi. Doa saya sentiasa mengiringi meraka agar selamat pergi, selamat mengerjakan umrah, dipermudahkan segala urusan, dan selamat kembali ke tanah air.
Esok pula saya akan ke Miri, out station. Flight pukul 7:00 pagi. Tinggal lah ayah seorang di rumah. Dan yang peningnya, saya belum packing barang lagi...
Aiseh men...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan