Assalamualaikum kepada pembaca sekalian. Mohon maaf kerana lama tak update blog. Selain belum ada mood, keadaan kesihatan yang tak seberapa juga mempengaruhi saya untuk lambat menulis.
Setelah 3 hari bercuti (kalau boleh dikatakan cuti, Sabtu dan Ahad sibuk dengan program remaja di HIKMAH Petra Jaya, Isnin pula sibuk dengan urusan peribadi yang belum selesai dan berbuka puasa bersama ATS ESQ). Saya tidak banyak masa untuk diri saya sendiri sepanjang 3 hari bercuti. Keletihan dan kecapekan, itu yang dapat saya katakan.
Pulang dari berbuka puasa dengan para ATS ESQ malam tadi, saya batuk tidak berhenti-henti. Dada terasa sesak, dan sukar bernafas. Sudah sebulan lebih saya menghidap batuk ini, semenjak demam selepas pulang dari menjadi ATS ESQ di Riverside. Rasanya sudah 2 botol ubat batuk saya minum, namun hanya lega seketika. Batuk saya belum sembuh sepenuhnya.
Setiap kali makan ubat, saya tidak lupa membaca Bismillah 6. Amalan ini saya dapat dari ustaz saya, iaitu adab dan doa makan ubat. Saya tambahi juga dengan Selawat Syifa dan mohon semoga Allah sembuhkan sakit saya.
Batuk ini agak mengganggu saya, dan paling saya khuatir ialah ketika sembahyang jemaah. Bila saya batuk tanpa henti, khuatir juga mengganggu kekhusyukan jemaah lain. Sebab itu saya tahan batuk ketika sembahyang jemaah. Natijahnya dada saya terasa sakit dan sukar bernafas. Rasa macam nak putus nyawa.
Terfikir juga, mungkin begini agaknya rasa orang nak putus nyawa. Wallahu 'alam...
Sebentar tadi saya tarawih di Surau Telekom yang terletak tidak jauh dari Taman Sukma. Saya juga sudah berjanji dengan rakan sepejabat saya, Airwan untuk solat tarawih bersama di sana. Namun ketika masuk ke surau, jemaah sudah mula solat Isyak. Saya tidak menemui Airwan dan saya solat di saf belakang.
Tengah-tengah solat, mata pula tiba-tiba terasa mengantuk, sendi terasa sakit dan badan terasa lemah sekali. Seusai solat Isyak, ada tazkirah disampaikan oleh imam. Namun suara imam tidak kedengaran dengan jelas kerana mungkin masalah PA system, atau imam bercakap dengan suara yang kecil agaknya.
Solat tarawih dimulakan. Badan saya terasa penat dan lelah sekali. Dada pula terasa menyesak, saya hairan. Apa agaknya terjadi dengan saya? Nak kata salah makan ketika berbuka tadi, mustahil. Saya rasa tidak ada yang tak kena dengan makanan tadi.
Gemuruh tasbih memenuhi ruang masjid, sekurang-kurangnya menyejukkan jiwa dan hati saya, melegakan fikiran saya. Cadangnya nak habiskan sampai 20 rakaat, namun kerana mata yang mengantuk melampau sangat, saya ambil keputusan untuk buat 8 rakaat sahaja dan tutup dengan 3 rakaat witir.
Saya agak mungkin badan saya kekurangan air, kerana sebelum pulang kerja saya sempat main ping pong dengan rakan ofis. Main dengan penuh perasaan, sampai berpeluh-peluh. Tak sedar pula sedang berpuasa.
Selesai witir, saya bergegas pulang. Di tempat letak kereta, saya terjumpa Zia, rakan sekelas saya di Swinburne. Kami sempat bersembang seketika.
On the way pulang, saya singgah ke kedai untuk membeli 100 Plus dan Coke. Saya minum habis 2 tin. Barulah terasa bertenaga semula.
Sampai di rumah, saya menghabiskan bacaan Quran untuk juzuk ke 11. Termengah-mengah juga saya membaca Quran, kerana diganggu batuk yang bertalu-talu. Mungkin kerana minuman tin yang sejuk tadi telah menyebabkan batuk datang mengganggu. Saya ke dapur dan mencari madu. Saya telan madu dengan wajah berkerut menahan kemanisan 'melampau' madu tersebut.
Saya anggap sakit ini kaffarah ke atas diri saya yang banyak menanggung dosa. Teringat kata-kata seorang guru sufi, sakit adalah kaffarah, meningkatkan darjat di sisi Tuhan, menyucikan hati, mendidik diri menjadi redha dan sabar. Oleh itu jangan mengeluh, banyakkan menyebut nama Allah dan istighfar. Ini yang pernah saya pelajari satu ketika dahulu.
Entah bila diri ini akan bersih dari dosa...
Ya Ilahi, Wa Maliki, Anta ta'lam kaifahali... anta ta'lam kaifahali... Laila ha illa llah, Muhammadur Rasullullah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan