Khamis, 19 November 2009

Al-Fatihah...

Sedang saya asyik surfnet sebentar tadi, Azman, sahabat baik saya menelefon dengan membawa berita buruk.

"Hj Chee ninggal (meninggal), malam tadik (tadi)"

Saya terkejut, "Tuan Guru Hj Chee maksud kau kah?" Saya bertanya untuk kepastian.

"Aok (ya), Hj Chee Bako bah." Azman menjawab.

Saya beristirja'. Saya benar-benar terkejut kerana Tuan Guru Hj Chee sihat orangnya. Beliau merupakan pengasas dan Guru Utama bagi Perguruan Seni Silat Warisan Kibau, di antara perguruan dan silat tertua di Sarawak. Silat ini berasal dari Kalimantan, Indonesia.

Tuan Guru Hj Chee bin Hj Gintal, atau lebih mesra dengan panggilan Hj Chee Bako merupakan guru silat yang tersohor dan terkenal di Sarawak. Beliau juga merupakan ahli bagi Dewan Pendekar dan di antara guru tua yang amat dihormati oleh pesilat seluruh Sarawak. Pemergian beliau ke hadhrat Ilahi merupakan kehilangan besar bagi Rumpun Silat Sarawak, badan silat yang bertanggungjawab untuk seluruh perguruan silat di Sarawak.

Semua orang kenal dengan Hj Chee. Kehebatan beliau dalam ilmu persilatan memang telah ramai diketahui orang. Beliau juga mahir dalam ilmu perubatan dan kebatinan. Namun kehebatan itu tidak sampai menjadikan beliau sombong, sebaliknya beliau seorang yang sangat rendah hati, tawadhu', mesra dengan orang lain hatta dengan anak muridnya sendiri mahupun dari perguruan lain.

Saya masih ingat, satu ketika saya keluar dari sebuah surau setelah selesai menunaikan solat Asar, saya melihat beliau berjalan seorang diri selepas solat. Saya menyapa beliau, bersalam dan mencium tangan beliau sebagai tanda hormat anak murid kepada guru.

"Dari siney (mana) tek (tadi), jang?" Hj Chee bertanya dengan senyuman manis di wajahnya.

"Pulang kerja tek (tadi), tuan guru. Singgah sembahyang lok (dulu)." Saya menjawab dengan sopan.

Keramahan beliau amat menyenangkan hati sesiapa sahaja yang pernah bergaul dengan beliau. Perguruan silat beliau banyak bertebaran di kampung-kampung sekitar Kuching, khususnya di Bako dan Santubong. Silat Kibau adalah silat yang masih mengekalkan keaslian dalam permainannya. Saya sangat tertarik dengan permainan Silat Kibau namun tidak berpeluang mempelajarinya.

Ada banyak cerita tentang kehebatan Hj Chee namun saya tidak bercadang untuk menceritakannya dalam posting kali ini. Mungkin saya akan menceritakannya dalam posting yang akan datang.

Terasa kesedihan di hati saya apabila mendapat tahu TG Hj Chee meninggal dunia, walaupun saya bukanlah anak murid beliau. Tidak lupa juga, TG Hj Chee merupakan sahabat baik bagi guru utama perguruan saya, Tuan Guru Imam Hj Zainuddin bin Hj Adenan, guru tua dan pengasas Seni Silat Betawi Sarawak. Masih terbayang di mata saya kemanisan senyuman Hj Chee dan keramahan beliau dalam mengajar dan bergaul dengan pesilat muda seperti saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas Allahyarham Tuan Guru Hj Chee bin Hj Gintal, Guru Tua dan Pengasas Seni Silat Warisan Kibau Sarawak.

Al-Fatihah...

TG Hj Chee memakai baju biru dan ikat pinggang merah, dokumentari silat yang famous satu ketika dulu.

2 ulasan:

  1. al fatihah...kmk pnh dgr kehebatan arwah tok.. org nya mmg peramah n baik ati..semuga rohnya dicucuri rahmat-Nya..amiin..silat kbau cukup menarik n praktikal..

    BalasPadam
  2. Ya lah. kamek respect ngan Hj Chee. Banyak cerita menarik ttg nya. Kelaklah mun ada masa kamek cerita tentangnya.

    BalasPadam