sambungan..
Saya dan Zulhatta selamat tiba di Bintulu kira-kira jam 4:30 petang. Hujan telah teduh dan langit kembali terang, namun hawa bumi Bintulu menjadi sejuk dan nyaman selepas hujan. Destinasi pertama sekali ialah Kampung Jepak. Kata orang, zaman dulu Kampung Jepak terkenal dengan permainan polongnya. Orang tua dan muda, boleh dikatakan majoritinya pandai bermain polong. Istilah polong bagi orang Sarawak berbeza dengan orang semenanjung. Kalau polong bagi semenanjung ialah hantu atau jin peliharaan yang digunakan untuk memudaratkan orang lain. Namun istilah 'polong' bagi orang Sarawak ialah ilmu sihir yang menggunakan telur dihantar dari jarak jauh(atau lebih dikenali dengan 'tuju-tuju' di semenanjung). Saya kurang pasti sama ada amalan sihir ini masih dipraktikkan di kampung tersebut pada zaman ini. Harapan dan doa saya, mudahan tidak ada lagi yang bermain polong atau mempraktikkan amalan sihir ini di kampung tersebut.
Di Kampung Jepak, pemohon RMR dan kontraktor telah lama menunggu. Kami mengadakan pemeriksaan rumah dan menyerah kunci rumah setelah inspection selesai. Ini kami lakukan dengan ringkas kerana ada sebuah lagi rumah di Kampung Jabai yang hendak diserahkunci.
Sebelum ke Kampung Jabai, saya dan Zulhatta singgah di Masjid Daerah Bintulu, yang terletak di tepi sungai Kemena (orang Bintulu, betulkan saya jika saya silap). Saya sendiri tidak tahu nama sungai tersebut. Kami menunaikan solat jama'-qasar untuk Zohor dan Asar. Kemudian kami bergegas ke Kampung Jabai untuk menyiapkan tugasan seterusnya.
Mentari petang di Bintulu hampir masuk beradu, menandakan tabir malam mula melabuhkan tirainya. Terserlah cahaya matahari berwarna keemasan terpantul di permukaan air laut semasa saya dan Zulhatta menuju ke Park City Everly Hotel untuk check-in. Hotel ini terletak betul-betul di tepi laut, sekaligus memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan keindahan pantai dan menghirup udara segar dari laut.
Bintulu terkenal dengan minyak dan gas aslinya. Keindahan dan ketenangan bandar Bintulu tidaklah dapat dinafikan kerana bandar ini tidak hiruk-pikuk seperti di Kuching, Sibu dan Miri. Tiada kesesakan jalan raya, tiada bangunan pencakar langit, tiada kebisingan, yang ada cuma kehidupan yang perlahan dan monotonous sahaja (kalau boleh dikatakan begitu). Ketenteraman inilah menjadi kelebihan bandar Bintulu jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di negeri Sarawak.
Malam di Bintulu, tidak banyak aktiviti yang dilakukan. Zulhatta berjumpa dengan keluarga mertuanya, saya pula pergi berjumpa dengan kawan baik saya. Kawan baik saya ini, atau boleh saya panggil dia sahabat baik saya, seorang yang sangat baik hati. Dia seorang yang sederhana. Walaupun datang dari keluarga yang berada, namun mempunyai sifat rendah hati dan humble. Sahabat saya ini tidak suka jika orang memandang harta kekayaan keluarganya. Seringkali sahabat saya ini mengingatkan saya supaya berkawan dengannya bukan kerana harta dan kedudukan keluarganya, tetapi berkawanlah kerana ikhlas dan niat yang baik. Ini yang saya pelajari dari sahabat baik saya ini. Keluarganya juga baik-baik belaka. Saya pernah duduk bersembang dengan ibu bapanya. Ibunya seorang yang peramah dan lemah lembut. Ayahnya walaupun tidak banyak bercakap, tapi masih mesra dengan saya. Alhamdulillah, saya beruntung dan bertuah kerana mempunyai sahabat yang baik seperti dia.
Keesokannya, saya dan Zulhatta balik semula ke Miri dengan Kembara syarikat. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam dengan menggunakan jalan pesisir. Sekali lagi kami singgah ke Bekenu untuk serahkunci sebuah lagi rumah. Kami sampai ke Miri kira-kira jam 5:30 petang, dan menginap di Mega Hotel.
Saya berjumpa dengan usu Wet, iaitu adik bongsu kepada ayah saya usai solat Isyak. Pelbagai perkara disembangkan, lebih kepada hal keluarga. Usu Wet sangat rapat dengan ayah. Ayah selalu berpesan kepada saya supaya menziarahi Usu Wet setiap kali pergi ke Miri. Ini saya lakukan jika saya mempunyai masa panjang jika berada di Miri.
Tidak banyak yang hendak saya kongsikan tentang Miri. Apa yang dapat saya katakan ialah, kedatangan dan kunjungan saya ke Miri pada kali ini lebih kepada menggamit memori silam. Saya pernah menetap malah bersekolah di Miri sekitar tahun 1989-1991. Kesempatan ke Miri pada kali ini saya gunakan untuk melihat sekolah lama saya, iaitu SMB St. Columba. Sempat juga saya mengambil gambar sekolah tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.
SMB St Columba Miri.
Blok kelas semasa di Tingkatan 2.
Blok kelas semasa di Tingkatan 1.
Bandar Miri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan