Jumaat, 12 Mac 2010

Miri...

Tugasan luar Kuching saya terima sejak 2 minggu yang lalu. Kali ini saya dan Zulhatta akan pergi ke Bintulu dan Miri dengan menaiki pesawat jam 7:00 pagi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Tugasan kali ini adalah untuk serah kunci Rumah Mesra Rakyat untuk pemohon sekitar Miri dan Bintulu, di samping membuat lawatan tapak ke sesetengah tapak projek yang telah habis tempoh Defect Liabilty Period (DLP) atau dalam bahasa mudahnya, Tempoh Tanggungan.

Seawal jam 4:45 pagi, saya sudah bangun dan membersihkan diri. Azan Subuh belum berkumandang, cadangnya hendak solat Tahajud 2 rakaat. Namun oleh kerana ayah dah bersedia di car porch rumah, saya batalkan niat saya kerana saya tahu ayah tidak suka menunggu dan terburu-buru ke airport. Ayah lebih senang memandu dalam keadaan tenang ke airport dan tidak suka jika saya memecut laju kerana takut kesuntukan masa. Sebab itulah ayah lebih suka turun lebih awal dari masa yang ditetapkan. Saya memandu Vios 1.5 kepunyaan ayah meredah udara dingin pagi bandaraya Kuching yang indah, bersembang pelbagai perkara dengan ayah sambil mendengar radio yang mengalunkan zikir pagi dan bacaan Quran di Radio RTM Sarawak bagi menandakan azan Subuh bakal berkumandang sebentar lagi.

Setibanya di airport, azan Subuh pun berkumandang. Saya memarkir kereta di tempat parkir, manakala ayah bergegas ke surau airport untuk menunaikan solat Subuh. Dalam keadaan terkial-kial, tangan kanan mengheret beg baju, manakala tangan kiri pula membawa laptop dan kamera ofis, saya menuju ke kaunter check-in. Kebetulan, staf perempuan di kaunter check-in itu saya kenal, Siti Sa'arah namanya. Budak sama kampung Boyan, kampung nenek sebelah emak.

Siti Sa'arah sebaya dengan adik bongsu saya, Amirudean. Lama juga tak jumpa dia. Semenjak sebahagian rumah orang kampung Boyan dipindahkan ke Demak, jarang sekali kami berjumpa dengan jiran sekampung. Di kampung, rumah Siti terletak di belakang rumah nenek saya, Hjh Menah. Dulu saya lihat budak Siti ni masih kebudak-budakan, hingusan lagi. Sekarang dah angkat dara kata orang tua, jauh benar bezanya. Sempat juga saya berbual sebentar dengan Siti, bertanyakan khabar keluarganya. Boleh dikatakan keluarga Siti amat baik dengan keluarga kami. Sering juga mereka tolong tengokkan nenek saya semasa kami sekeluarga tinggal di Miri dulu. Nenek tinggal berseorangan di rumah kampung, Mak Ros, ibu kepada Siti Sa'arah inilah yang kadang-kadang ada datang tolong menengokkan nenek di rumah.

Setelah mendaftar, saya mengucapkan terima kasih dan berpamitan dengan Siti. Saya segera ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Berpapasan dengan ayah di luar surau yang baru sahaja selesai solat, saya mencium tanggannya dan ayah pulang terus sambil berpesan supaya menjaga diri dan berhati-hati. Memandangkan masa masih panjang, saya sempat membaca Hizib Bahar dan ditutup dengan doa pagi tersebut.

Miri nan Indah...

Touch down di Miri tepat jam 8:00 pagi. Saya dan Zulhatta menggunakan kereta syarikat untuk bergerak ke tapak projek. Sebelumnya, kami bersarapan dahulu di bandar Miri. Kemudian temujanji dengan kontraktor di Kampung Batu Lapan, Miri.

Kami ke Bekenu pada sebelah tengaharinya. Di sana saya berpeluang menjelajah ke perkampungan yang ada dalam daerah Bekenu. Banyak juga kampung-kampung kecil di sini. Kebanyakan masyarakat di Bekenu berbangsa Kedayan. Seperti Melanau, bangsa Kedayan juga ada yang beragama Islam dan Kristian. Namun tak kurang juga yang masih berfahaman pagan, iaitu fahaman nenek moyang dan animisme.

Selesai urusan di Bekenu, kami memecut ke Bintulu dengan menggunakan jalan pesisir. Di pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya sehingga membataskan jarak penglihatan. Ini menyebabkan saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana keterbatasan jarak penglihatan. Berdearu juga darah saya apabila Kembara yang saya pandu melanggar lopak air hingga bergegar stereng, namun semuanya masih dalam kawalan, alhamdulillah.

Bersambung...

1 ulasan:

  1. Salam saudara Ajeri...
    Maaf saya mengganggu penulisan saudara disini. Namu saya ingin komen tentang fakta bangsa KEDAYAN yang anda tulis dlm blog anda.
    Untuk makluman bangsa KEDAYAN adalah rumpun dari MELAYU BRUNEI dan penganutan agama untuk bangsa kedayan tidak boleh sama sekali di samakan dengan bangsa Melanau. Ini kerana, bangsa kedayan adalah dtg dari rumpun melayu dan setiap kelahiran adalah secara automatiknya ISLAM. Tidak sama seperti agama Melanau yg mana bebas untuk memilih sama ada Kristian atau Islam.

    Diharap saudara dpt memperbetulkan fakta dlm penulisan sauadara. Sekian terima kasih.

    p/s Penulis adalah berbangsa KEDAYAN/MELAYU BRUNEI

    BalasPadam