Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Khamis, 27 Mei 2010
Sedikit Kisah Renungan...
Tiada apa yang hendak diceritakan dalam seminggu ini, kerana lebih banyak kepada rutin harian yang biasa dilalui. Walaupun sebenarnya banyak yang hendak dikongsikan kepada semua pembaca, namun saya memilih untuk menyimpan terlebih dahulu kisah-kisah menarik ini. Mungkin di entry yang akan datang saya akan ceritakan, insya Allah.
Rabu lepas, selepas pulang dari pejabat, seperti biasa saya berehat di rumah dan bersiap sedia untuk solat Maghrib. Usai solat, saya bercadang untuk ke Blind Massage Centre, bagi mendapatkan urutan badan dari orang buta di sana. Badan terasa sengal dan kurang selesa, mungkin kerana kurang tidur dan jadual makan yang tidak tetap menyebabkan badan terasa kurang sihat. Saya juga selalu ke pusat tersebut bagi mendapatkan urutan jika kurang sihat.
Ketika saya keluar dari rumah, angin sejuk sudah mula bertiup sederhana kencang, langit pun tidak berbintang dan menunjukkan hari nak hujan. Dengan lafaz bismillah, saya meninggalkan rumah dengan memandu Kancil buruk saya. Ketika sampai ke Saberkas, saya segera ke kedai urut orang buta di sana. Malangnya kedai tersebut sudah tutup sejak pukul 7 petang. Saya melihat jam sudah menunjukkan 7:30 petang. Hmmm, patutlah. Saya terlewat rupanya.
Saya meninggalkan Wisma Saberkas dan menuju ke Blind Massage Centre di Batu Lintang. Ketika sampai di traffic light simpang empat Batu Lintang, hujan pun turun dengan lebatnya beserta dengan angin kencang. Saya memandu dengan berhati-hati agar selamat sampai ke destinasi. Namun sekali lagi saya hampa kerana pusat tersebut juga tutup awal.
Saya tidak berputus asa. Kali ini saya ke jalan Ong Tiang Swee, tempat di mana terletaknya Rumah Orang Buta cawangan Kuching. Hampa juga. Saya melihat pintu pagar pusat tertutup rapat.
Dengan kehendak hati yang masih kuat untuk berurut, saya menghantar text message kepada Anan, kawan baik saya. Anan membalas message saya dengan mengatakan dia jarang berurut badan di luar, Anan lebih kepada urut reflexogy.
Sedang saya tengah mencari-cari, saya terlihat sebuah kedai urut di Chonglin Park. Tribal Remedy, demikianlah nama kedai urut tersebut. Saya mencuba untuk urut reflexogy di situ. Saya request tukang urut lelaki, kalau perempuan lain pulak jadinya kelak.
Tapak kaki saya diurut dengan cermat oleh seorang lelaki Cina berusia lingkungan 40an. Sambil itu saya membaca majalah yang disediakan. Ketika itulah Anan call handphone saya, menanyakan saya berada di mana. Kami berbual seketika mengenai beberapa perkara . Selepas saya meletakkan handphone, lelaki Cina (LC) tersebut bersuara.
LC : Awak Melayu kah?
Saya : Ya (dahi bekerut, muka aku ni bukan mcm Melayu ke?)
LC : Oooo, Islam lah?
Saya : Ya... (sekali lagi dahi saya berkerut... apa ke halnya Cina ni?)
LC : Patutlah you tidak mahu perempuan urut, you org Islam ho.. org Islam mmg mau jaga punya.
Saya : (tersenyum) saya sebagai org Islam, ada adab mau jaga. Tidak boleh sebarang.
LC : Saya pun masuk Melayu.. eh salah... masuk Islam.
Saya : Ooooo, you berapa lama sudah masuk Islam?
LC : 4 tahun. Itu JAIS siap ada bagi i.c masuk Islam lagi. Pakai apa itu i.c ho?
Saya : Itu i.c sbg memaklumkan yang you sudah masuk Islam. Supaya bila you meninggal nanti, you punya family yg belum Islam tidak boleh claim you punya mayat. You punya mayat nanti mesti kubur cara Islam. Kalau i.c Islam tidak ada, nanti you punya family claim you punya mayat dan kubur cara bukan Islam. You agama Buddhist kah? (pada ketika ini saya perasan ada tatoo Buddha di dadanya jelas nampak di celah t-shirt nya yang sedikit terbuka.)
LC : Ya. Saya memang Buddhist dulu. Sekarang sudah Islam. Kahwin sama orang Kampung P*** (nama kampung terpaksa dirahsiakan kerana kampung tersebut terkenal dengan 'kegengsterannya'). Sekarang saya tinggal di Foochow Road.
Saya : Apa nama Islam you?
LC : Mohd Freddy Yap Abdullah. (sambil tersenyum)
Saya : Alhamdulillah!
Saya memanjatkan kesyukuran kerana Allah berkenan melimpahkan taufik dan hidayahnya ke hati Freddy. Kami meneruskan perbualan. Dari sosok tubuh dan roman mukanya, firasat saya mengatakan dia mungkin bekas gengster. Saya cuba mengorek rahsia hidupnya.
Sambil mengurut, Freddy menceritakan sejarah hidupnya. Banyak kisah suka-duka yang dihadapinya sepanjang bergelar sebagai saudara baru. Dibuang keluarga dan bapa kandung, dihina kerana miskin, isteri yang tidak memahami, dan macam-macam lagi. Walaupun kali pertama berjumpa, Freddy tidak kekok untuk meluahkan perasaan sedihnya kepada saya.
Freddy sedih kerana sering dicemuh oleh keluarga mertuanya yang memandang rendah dengan pekerjaannya yang bergaji kecil. Freddy menceritakan, dia berkahwin dengan gadis Melayu tersebut bukan kerana harta dan lain-lain, tetapi kerana cinta. Tetapi kenapa harta masih menjadi ukuran? Saya mendengar dengan teliti keluhan saudara baru ini.
Dari satu topik, kmi berbual ke topik yang lain pula. Saya sempat bertanyakan tatoo yang terukir di badananya. Freddy menceritakan, dulu dia mendapatkan tatoo tersebut dari seorang sami Buddha Thailand di Batu 3. Kononnya, tatoo tersebut berfungsi sebagai tangkal untuk membuang nasib buruk, pelaris,kebal dan lain-lain. Freddy juga mengaku pernah memelihara toyol versi Thailand yang dijamu dengan minuman susu. Toyol versi Thailand ini dikenali dengan nama Kumanthong. Saya rasa saya pernah menceritakan tentang Kumanthong ini dalam entry yang lepas. Apa yang mengejutkan, Freddy memelihara 6 'ekor' toyol untuk kegunaannya sendiri. Saya bertanya adakah ia menggunakan janin bayi? Freddy mengatakan dia hanya menggunakan tulang mayat bayi. Dia pernah menggunakan khidmat toyol ini untuk mendapatkan nombor ekor. Meminta kepada toyol ini kata Freddy, jangan berjanji untuk memberikan apa-apa. Kerana kalau dah berjanji, mesti ditunaikan. Kalau janji tidak ditepati, nyawa akan melayang.
Apa yang pelik, walaupun pelbagai hajat dan kemahunnya dikabulkan melalui toyol ini, Freddy tetap tidak mengecapi ketenangan hidup. Ada saja kemalangan dan sial yang menimpa. Namun setelah Freddy memeluk Islam, dia hairan, semua kesialan dan nasib buruknya hilang. Malah dia merasa lebih tenang setelah mengamalkan cara hidup Islam.
Saya memberi beberapa tips dan nasihat Islami kepada Freddy agar dia tabah menempuh ujian hidup sebagai saudara baru. Nasihat asas yang biasa saya beri ialah jangan tinggal solat, dan banyakkan berdoa. Sentiasa perbaiki hubungan dengan Allah Taala. Freddy tersenyum dan mengangguk.
"Saya selalu pegang itu tasbih, dan baca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Hati saya jadi tenang... Saya yakin Tuhan Allah akan tolong saya..."
Hati saya tersentuh. Betapa tingginya iman dan keyakinan lelaki Cina ini, walaupun baru mengenal cahaya Islam, dan ditimpa ujian dan musibah dari keluarga mertuanya yang beragama Islam, dia tetap percaya dan tidak berganjak dari keyakinannya kepada Allah.
Kasihan saudara baru ini,mertuanya tidak membimbing dia kepada Islam. Lebih teruk lagi, keluarga mertuanya tidak menunjukkan cara hidup Islami kepada Freddy. Freddy hanya mengharapkan JAIS untuk mengajar Islam kepadanya.
Saya berpamitan dengan Freddy selepas itu, sambil berdoa di dalam hati agar Allah memberi sakinah (ketenangan) dan kekuatan iman kepada Freddy.
Bumi Kuching masih basah oleh hujan ketika saya memecut Kancil buruk saya untuk pulang ke rumah, sebasah hati saya yang 'menangis' kasihan mengenangkan nasib yang menimpa saudara baru kita. Entah bagaimana pula dengan nasib saudara baru kita yang lain di luar sana?
Wallahu 'alam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
perkongsian yg menarik...
BalasPadamsalam,
BalasPadamkat tempat urut orang buta tu , ada x urut untuk porg perempuan, by perempuan.
n tempat reflexology yang encik pergi tu kat mana?
bole tinggalkan saya num fon pusat urut org buta dekat saberkas tu ? n tempat urut reflexology tu ?
thanks sbb bntu.
salam. - nurul
orang perempuan *
BalasPadam