"Syeikh, anta tolong kemaskan meja ni." Saya berkata kepada salah seorang ahli usrah usai pengajian pada malam itu.
"Eh, anta la yang bersihkan. Ana kan dah kahwin. Anta bujang lagi. Anta yang kena bersihkan." Ujar akhi tersebut dengan nada berseloroh.
Saya mengurut dada. Rasa nak marah meledak tapi ditahan dengan istighfar dalam hati. Bibir mengukir senyum pahit. Berseloroh ada tempatnya, bisik saya dalam hati.
Saya enggan bercakap lebih. Saya bangun lalu mengemaskan meja yang berselerak dengan cawan dan piring kuih. Setelah meletakkan barang tersebut di atas dulang, saya segera menghantar dulang berisi barangan tersebut ke dapur.
Kebiasaan usrah kami, selesai pengajian, ada sesi perbincangan umum serta makan dan minum. Naqib akan menyediakan makanan dan minuman untuk ahli usrah seadanya. Kami tidak memilih dalam bab makanan ni, apa yang dihidangkan itulah yang dimakan.
Kisah di atas telah acapkali berlaku. Bukanlah maksud saya untuk memuji diri sendiri yang sentiasa mengemas setiap kali selesai minum. Ada juga yang tolong mengemas selepas habis usrah. Tetapi dari situ saya seolah-olah mendapat gambaran bahawa, inikah sikap da'ei yang dikehendaki untuk menyebarkan kebenaran dan keindahan Islam?
Mungkin bagi sesetengah orang, perkara tersebut hanyalah hal yang sepele (tidak penting). Tapi tahukah anda, bahawa jikalau benda kecil pun tak settle, apa lagi jika benda yang besar? Inikah sikap da'ei yang diharapkan untuk membentuk ummah yang selari dengan kehendak Islam?
Dari situasi tersebut, kita dapat gambarkan sikap dan akhlak si da'ei. Jangan fikir kita sebagai da'ei, orang tak perhatikan perangai kita. Tidak melampau jika saya katakan, menjadi da'ei ini seumpama jadi artis. Setiap tingkahlaku kita, akhlak dan perbuatan kita akan dinilai oleh orang sekliling, dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang lebih besar.
Kita ambil contoh mudah. Buang pembalut gula-gula di jalanan, mungkin bagi kita perkara kecil kerana beranggapan tukang sapu sampah akan tolong sapukan. Atau paling kurang, orang tak nampak sampah tersebut kerana sampah itu kecil. Tapi apa akan jadi jika 10 orang yang bersikap demikian? Bagaimana pula jika 100 orang yang sama turut membuang sampah di jalanan yang sama? Adakah sampah itu masih tidak kelihatan?
Bagaimana pula jika da'ei pula yang bersikap demikian? Jika dalam perkara kecil pun dia ambil remeh, adakah anda fikir dia akan memandang serius dalam hal-hal yang besar?
Tepuk dada, tanya iman...
Wallahu'alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan