Artikel ni saya jumpa kat http://www.kakibisnes.com/2009/04/sobri-jadi-tauke-minyak-wangi/. Walaupun modal kecil, dan hanya beroperasi dari rumah, pakcik ni sukses dalam perniagaannya. Paling penting, kena jujur dengan pelanggan.
Saya dah lama bercita-cita untuk memiliki bisnes sendiri. Setakat ni, saya hanya jadi pengedar Morhabshi untuk Kuching dan Bintulu. Saya ingin mengembangkan bisnes saya dengan lebih luas lagi. Saya juga ingin menambah produk dalam bisnes saya supaya wujud kepelbagaian dalam rangkaian perniagaan saya kelak.
Namun, tidak dinafikan, dalam bisnes juga ada turun naiknya. Kalau masa laris, minyak Morhabshi jualan saya macam goreng panas, sampai tak menang tangan nak hantar produk. Tapi bila sale takde, stok pun melambak kat rumah. Walaupun slow, tapi tetap ada jualan.
Cerita pakcik Sobry ni benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk gigih dalam berniaga. Mudahan saya dapat mencontohi pakcik Sobry untuk sukses dalam perniagaan.
Bagi saya, jujur, amanah, gigih, sabar dan kerja keras adalah kunci kejayaan dalam bisnes.
Ada sesiapa yang sudi mengajar ilmu perniagaan dengan saya? ;-)
Sobri jadi tauke minyak wangi
SIAPA sangka, dengan modal tidak sampai RM500, berbekalkan kejujuran dalam menjalankan perniagaan, dia kini mampu hidup lebih selesa dengan hanya menjalankan operasinya dalam bilik kecil yang selama ini dijadikan bilik tidur untuk anak bongsunya.
Tidak pernah putus asa mencuba semua cabang kerjaya selepas bersara sebagai tentera di Kolej Tentera Udara, Alor Setar dengan pangkat Staf Sarjan, Sobry Ismail, 52, kini terkenal dengan gelaran tauke minyak wangi lantaran kejayaannya menjadi pembekal pati minyak wangi yang mempunyai rangkaian pengedar di seluruh negara.
Mungkin produk jualannya tidaklah sehebat mana tetapi apa yang penting, dia berjaya memberikan pilihan kepada pengguna untuk memiliki minyak wangi dengan aroma produk bermutu tinggi dengan harga yang sangat murah serta boleh dimiliki siapa saja.
SOBRY memproses minyak wangi dalam bilik kecil di rumahnya.
Tidak ramai yang sanggup membelanjakan sehingga ratusan ringgit untuk membeli minyak wangi berjenama antarabangsa meskipun semua sedia maklum aroma dari semburan minyak wangi sebegitu mampu menyebabkan penampilan mereka lebih meyakinkan.
Justeru, apabila Sobry mengeluarkan minyak wangi yang mempunyai aroma sama dengan jenama antarabangsa dengan harga yang jauh lebih murah, ia terus diterima dan mendapat permintaan menggalakkan.
Kunjungan penulis ke kediamannya di Taman Tunku Anum, Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah, memberi peluang untuk melihat sendiri apa keistimewaan yang ada padanya sehingga produknya begitu laris dan diterima oleh semua peringkat tidak kira pekerja kilang mahupun eksekutif muda.
Nampak seperti tidak ada beza dengan minyak wangi dalam botol beroda (roll-on) yang dijual di kebanyakan pasar malam di Kuala Lumpur, namun apabila diteliti dan dihidu baunya, jelas produk yang dikeluarkannya lebih menepati aroma sebenar dan tahan lebih lama.
Lalu, apabila Sobry mendedahkan rahsia produknya, barulah penulis faham kerana berbanding produk lain yang kebanyakannya menggunakan campuran minyak kosong, dia lebih suka menggunakan pati asli yang langsung tidak diadun dengan bahan lain.
“Jika saya mahu mencampur pati minyak dengan minyak kosong, memang lebih menguntungkan dan boleh dijual jauh lebih murah, namun ia seakan menipu pelanggan. Saya tak nak macam itu. Bagi saya, biarlah untungnya kecil tetapi disukai semua orang.
“Berbanding minyak wangi yang dicampur bahan lain, ia mungkin hanya mampu bertahan selama tiga hingga empat jam. Produk saya mampu bertahan kadangkala dari pagi hingga malam bergantung kepada cara penggunaannya. Ada yang masih melekat pada baju hingga keesokan harinya.
ANTARA minyak wangi menggunakan aroma jenama terkenal yang dikeluarkan oleh Sobry.
“Paling penting, baunya tidak tengik seperti jenama minyak wangi lain. Baunya tepat seperti jenama yang dijual di pasar raya. Tahan lama dan dijual lebih murah. Senang dibawa ke mana saja,” katanya sambil menunjukkan produknya.
Cara dia menjalankan perniagaannya sangat mudah. Dengan menjalankan semua operasinya dalam bilik kecil itu, dia hanya menjualnya kepada pengedar yang datang ke rumah setiap hari untuk dijual di pasar malam.
Malah, bagi pengedar di luar kawasan Jitra, dia tidak kisah untuk mengepos pesanan mereka walaupun dalam kuantiti yang kecil. Ketekunan dan kejujurannya itu membuatkan semakin ramai pengedar selesa berurusan dengannya.
Membongkar keuntungannya, Sobry berkata, bagi setiap botol, dia hanya mendapat keuntungan tak sampai RM2. Itu selepas ditolak kos minyak, botol, kotak, label dan mengepos kerana dia tidak pernah mengenakan bayaran untuk kos pos.
Ketika ditanya adakah perniagaan itu benar-benar menguntungkan, sambil tersenyum dia berkata - “Bolehlah setakat nak sara keluarga dan tampung kos pengajian anak. Selepas dua tahun berniaga, dapatlah kumpul duit untuk ke Makkah dan merasa jugalah tukar kereta baru.”
Meskipun dia kini sudah mampu untuk melebarkan perniagaannya secara lebih serius seperti membuka kedai, namun dia lebih selesa meneruskan kaedah perniagaannya secara kecil-kecilan walaupun kini permintaan untuk minyak wangi keluarannya sudah berjaya menembusi pasaran seluruh negara.
“Cukuplah dengan apa yang ada. Bilik kecil ini sudah memadai untuk saya meneruskan perniagaan ini. Jika ada penambahan permintaan sekalipun, banyak lagi ruang yang ada dalam bilik ini. Ia masih mampu menampung pertambahan kerja saya,” katanya yang kini mengeluarkan 62 aroma pelbagai jenama berbanding hanya 12 ketika memulakan perniagaan itu dua tahun lalu.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk minyak wangi keluarannya boleh menghubunginya di talian 019-5109644.
Cuba baca blog ni
BalasPadamhttp://shahabudeenjalil.com/