Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Isnin, 9 Mei 2011
Sedikit Perkongsian...
Lama dah tak update blog. Semasa tengah update ni pun nafas termengah-mengah kerana demam semenjak semalam. Tapi oleh kerana atas permintaan peminat setia saya supaya update blog, maka saya menggagahkan diri juga untuk buat entry baru yang mana kali ini tentang pengalaman setelah 4 bulan bergelar suami orang. ;-)
Sepatutnya saya buat entry khas tentang majlis perkahwinan saya ini sejurus selepas majlis persandingan di Kuching Disember lepas. Namun selepas habis cuti kahwin, saya kembali sibuk dengan kerja di pejabat. Lepas tu ulang alik ke Bintulu, menziarahi isteri tercinta yang masih tinggal dan bekerja di sana.
Alhamdulillah, perkahwinan saya dengan isteri tercinta, Fariza bt Hj Sarkawi selamat diadakan di dua tempat yang agak berjauhan di Bumi Kenyalang ini, satu di Kuching, satu lagi di Bintulu. Walaupun jauh, kalau dah jodoh, Allah permudahkan semua pekerjaan kami, menyuburkan rasa kasih dan cinta antara kami, walaupun tidak duduk sebumbung.
Perkahwinan adalah suatu ibadah yang amat dituntut dalam Islam. Ibadah ini juga merupakan satu sunnah yang Rasulullah tetapkan sehingga baginda pernah bersabda, sesiapa yang enggan berkahwin maka bukanlah ia tergolong dalam golongan orang Mu'min. Saya bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan jodoh dengan isteri saya ini, dan saya amat meyakini bahawa beliaulah jawapan Allah bagi doa saya yang pernah saya panjatkan di Multazam ketika mengerjakan haji tahun 2006 yang lalu.
Isteri saya, berdarah kacukan Melanau-Arab ini berusia kurang setahun daripada saya. Ibunya berbangsa Melanau, yang memiliki kacukan darah Arab dari kawasan San'a, Yaman manakala ayahnya pula berbangsa Melanau-Afghanistan. Namun untuk mempermudahkan kerja, isteri saya ini pada asasnya adalah berbangsa Melanau, salah satu kaum etnik yang ada di bumi Sarawak yang tercinta ini.
Pertemuan saya dengan isteri saya ini semuanya telah diatur oleh Allah. Ringkas cerita, semuanya berlaku secara tidak dirancang. Perkenalan kami juga tidak lama. Berkawan sebulan, kemudian bertunang selama kira-kira 9 bulan. Orang tua saya juga tidak mahu kami mengikat tali pertuanangan terlalu lama. Lagi cepat lagi elok.
Sepanjang berumah tangga, saya telah mengalami pelbagai pengalaman baru yang banyak memberi pengajaran kepada saya. Allah berkenan mentarbiah saya mengenai fasa baru dalam episod kehidupan saya, iaitu sebagai seorang suami, dan seterusnya sebagai seorang ayah, insya Allah. Kini, saya lebih banyak berkongsi dengan isteri saya. Perasaan, masalah, asam garam hidup, semuanya dikongsi bersama. Kalau ada masalah, kami akan berbincang bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut secara bersama. Tidak seperti ketika masih bujang dulu, bila berhadapan dengan masalah, saya lebih cenderung untuk berdiam diri dan menyelesaikannya sendirian.
Isteri saya merupakan orang yang biasa sahaja. Namun ada sesuatu dalam dirinya yang membuat saya terpikat dan amat menyayanginya. Bukan hanya kerana paras rupa, tetapi saya merasakan seolah ada chemistry antara kami. Beliau juga seorang yang lemah lembut, sabar, sangat penyayang dengan kanak-kanak kecil, menjaga solat, dan bijaksana dalam melontarkan pendapat. Walaupun adakalanya kami tidak sependapat dalam sesuatu perkara, namun dia tetap menghormati pendapat dan idea saya.
Saya merenung dan berfikir, inilah hikmah dan fadhilat bagi orang yang berumahtangga. Banyak manfaat yang diperolehi. Bukan hanya sekadar kepuasan batin, tetapi juga memenuhi tuntutan fitrah sebagai seorang manusia biasa seperti dicintai, disayangi, diberi dan memberi perhatian, dan sebagainya. Merugilah mereka yang enggan berkahwin. Islam amat melarang membujang sampai ke tua seperti yang dipraktikkan oleh pendeta-pendeta dan rahib-rahib Yahudi dan Nasrani. Islam menggalakkan perkahwinan bagi membanteras maksiat dan mengembangkan keturunan yang baik-baik, di samping meramaikan lagi ummat Nabi Muhammad SAW.
Syukur Alhamdulillah...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
tahniah.. put..put..
BalasPadamtahniah..org baru kahwin semangatnya cintanya berkobar2..semoga dapat istiqamahkan perasaan ini
BalasPadam