Sabtu, 21 Mei 2011

"Apa tu, Mak Cu?...."


Sarapan pagi hari minggu sebentar tadi amatlah menceriakan. Abang saya membawa 3 anak-anaknya datang sekali ke rumah kali ini untuk menikmati bersarapan bersama. Kakak ipar saya pula tinggal di rumah untuk mengambil kesempatan mengemas sementara budak-budak tiada di rumah. Maklumlah, kalau budak-budak ada, memang susah nak mengemas. Dah dikemas, bersepah balik.

Adik bongsu saya juga baru sahaja balik dari KL. Seusai solat Subuh, adik dan mak keluar berjoging di Waterfront Kuching. Balik dari joging, mereka membeli makanan untuk sarapan. Kami sekeluarga bersarapan bersama dalam suasana yang sungguh ceria dan riuh gembira. Ayah dan mak cukup seronok kerana keempat-empat anaknya ada bersarapan sama, dihiasi lagi dengan gelak ketawa cucu-cucu mereka yang lincah dan aktif.

Semasa sarapan itu, macam-macam yang disembangkan. Sampailah abang saya menceritakan satu kisah benar yang saya fikir agar menarik untuk dikongsikan dengan pembaca sekalian. Kisah yang misteri ini berlaku kepada sepupu kepada kakak ipar saya, tidak berapa lama dulu.

Keluarga sepupu kakak ipar saya ini pergi ke Kota Samarahan. Pada ketika itu hari sudah malam, kira-kira jam 9:00 malam. Oleh kerana ayah kepada si sepupu kakak saya ini, berbangsa Iban masuk Islam, maka mereka pun singgahlah di sebuah rumah panjang terletak dalam daerah Kota Samarahan untuk menziarahi saudara mereka. Kedua orang tuanya memarkirkan kereta di sebatang jalan masuk ke rumah panjang tersebut, manakala di kiri kanannya hutan tebal belaka. Kedua orang tuanya meninggalkan sepupu kakak ipar saya ini (yang mesra dipanggil Ucu) menunggu di dalam kereta bersama dengan 2 orang anak buahnya, seorang lelaki dan seorang perempuan yang masing-masing berusia 6 dan 5 tahun. Mereka terpaksa tinggal di dalam kereta kerana untuk ke rumah panjang tersebut mereka terpaksa berjalan kaki masuk ke dalam.

Ketika sedang menunggu, kedua-dua budak ni tadi bermain-mainlah di dalam kereta, manakala si Ucu ni hanya duduk sambil mengelamun. Sekali-sekala dia melayan juga karenah mereka berdua bagi menghilangkan kebosanan. Tiba-tiba...

Si adik perempuan : Eeee, apa ya (tu) mak Ucu? (sambil menunjuk ke arah pokok-pokok hutan yang gelap gelita).

Si abang lelaki (menyampuk) : Ney? (mana). Sikda (takde) apa-apa pun.

Ucu tersentak. Dia melihat-lihat keluar. Takde apa-apa pun...

Si adik perempuan : Rami (ramai) sidak (mereka) Mak Ucu. Bergantung-gantung jak sidak (mereka) di rah (kat) pokok sia (tu).

Si abang lelaki tadi masih melilau-lilau matanya mencari apa yang dikatakan oleh adiknya. Namun masih gagal nampak apa yang ditunjuk oleh adik perempuannya. Si adik perempuan masih mengatakan "Kat situ.. kat situ... ramainyaaa. Diaorang bergantung-gantung kat pokok tu. Banyaknya!"

Si abang lelaki : Hantu kali nak? Suruh Mak Ucu baca Yassin.

Si adik perempuan : Mak Ucu sik (tak) pandei (pandai) baca Yassin. Giney (macam mana) lah?

Si abang lelaki : Baca jak Subhanallah kah, apa jak (saja) lah.

Ucu ni tadi yang dah mula menggigil sejak mula tadi, dah rasa macam nak menangis. Last-last dia pun baca tasbih Subhanallah berulangkali dengan suara nyaring.

Si adik perempuan : Eh... ehh... daknya (mereka) nutup (tutup) telinga semua, Mak Cu. Kenak (kenapa) daknya (mereka) nutup (menutup) telinga owh?

Ucu masih terus membaca tasbih tanpa putus, tiba-tiba...

Si adik perempuan : Mak Cu, daknya (mereka) turun dari pokok! Daknya nak ngagak (datang) sitok (ke sini).

Ucu dah seram sangat-sangat. Dengan tak semena-semena budak perempuan ni menjerit. Bila melihat budak perempuan ni menjerit, si abang dan si mak Ucu ni pun menjerit jugak.

Si adik perempuan : Buruk muka daknya (mereka), Mak Ucu. Daknya ada depan kereta...

Ucu dah tak mampu nak buat apa-apa. Pasrah habis. Tak lama kemudian, mak ayah si Ucu ni pun datang. Alhamdulillah, selamat. Mereka terus balik ke Kuching kemudiannya.

Setibanya di rumah, budak perempuan ni tadi terus keluar dari kereta dan berlari ke arah sepohon pokok asam yang terletak di hujung rumah, sambil mendongak ke atas.

Si nenek : Apa carik kitak (kamu) ya (tu), cu?

Si adik perempuan : Ncarik (mencari) urang (orang) muka buruk nok (yang) kamek (saya) jumpa tadik (tadi).

Ucu terdiam...

Pengajaran :JANGAN TINGGAL BUDAK-BUDAK DALAM KERETA MALAM-MALAM!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan