Isnin, 16 Mei 2011

Malaysia Perlu 'Diruqyah'!


Malam tadi, saya membeli makanan untuk saya dan adik saya, Adie. Ketika ini hanya kami berdua yang berada di rumah. Orang tua kami pula pergi ke Kedah untuk makan angin dan menziarahi saudara di sana, sekaligus turun ke KL untuk menjemput adik bongsu saya yang baru selesai pengajian ijazahnya di sebuah universiti tempatan.

Saya singgah di Koperkasa Jalan Astana. Di sana terdapat deretan warung yang menjual pelbagai makanan tempatan yang lazat-lazat belaka. Nasi ayam penyet, mi kolok, mi rebus, satay Rex (jenama sate terkenal semenjak 80an di Kuching), laksa Sarawak, ABC, laici susu, tongkat Ali kaw dan lain-lainnya. Kalau nak diikutkan hati, nak juga melahap dan mencuba semua makanan di situ. Sedap-sedap belaka. Tapi sekarang ni saya terpaksa control makan, tengah dalam usaha nak men-dietkan diri. Maklumlah, selepas kahwin ni, berat badan cepat naik, perut pun macam nampak boroi.

Saya memesan kuehtiaw goreng dan nasi goreng special di gerai Pak Amit. Antara banyak-banyak gerai, gerai yang inilah paling famous dengan nasi ayamnya. Nasi ayam kat gerai Pak Amit ni memang famous dan sedap. Mungkin rahsia resepinya yang menyebabkan nasi ayam kat sini lebih special berbanding dengan tempat lain. Setelah order siap, saya pun beredar dan berniat hendak direct pulang ke rumah. Namun niat saya terbantut kerana azan Isyak berkumandang. Saya pun memutar stereng Persona menuju ke masjid Al-Firdaus yang terletak di kampung Tunku, Petra Jaya, tidak jauh dari Koperkasa.

Ketika memasuki masjid, saya melihat ada majlis ilmu sedang berlangsung. Kitab Tanbihul Ghafilin, yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Basri. Wahh! Ustaz favourite saya ni! Kitab Tanbihul Ghafilin pun best jugak. Lalu saya memilih tempat duduk yang selesa dan menghadap ke arah ustaz untuk mendengar pengajian beliau.

Sambil mendengar kuliah, mata saya melilau melihat para jemaah di dalam masjid tersebut. Kebanyakannya orang tua yang hadir, sambil khusyuk menadah kitab. Saya cuba mencari, kalau-kalau ada orang muda atau syabab yang ikut serta dalam majlis ilmu ni. Hmmm, yang ada cuma 2 orang sahaja, kemudian 3 budak sekolah rendah. Terdetik jauh di lubuk hati saya, mana dia pemuda-pemuda kita? Mana dia remaja-remaja kita yang menagku dirinya Islam? Solatkah mereka? Jika solat, kenapa tak buat di masjid? Kenapa solat sendiri-sendiri di rumah? Malas nak berjalan ke masjidkah? Atau dah tak mampu nak menghayun langkah ke masjid kerana masjid terletak jauh dari rumah? Kalau nak dikirakan penat berjalan kaki ke masjid, kenapa ayah-ayah kita yang dah pencen, atuk-atuk dan nenek-nenek kita yang dah lanjut usia masih gagah berdiri qiam dalam solat walaupun mereka juga penat berjalan kaki ke masjid?

Tak malukah kita sebagai orang muda, mengatakan penat sebagai alasan enggan melaksanakan solat jemaah di masjid? Kenapa berjaga malam menonton bola sepak kita tak rasa penat? Kenapa bila terkinja-kinja menonton Akademi Fantasia dan Mentor di studio boleh tak penat?

Saya hairan melihat pemuda-pemudi zaman sekarang. Mereka penat nak mengerjakan solat yang mengambil masa hanya 5 minit, tapi sanggup melompat, berjoget atas pentas, ber'shuffle' dan berhip-hop selama berjam-jam tanpa rasa penat. Pelik bukan?

Saya cukup meluat dan menyampah melihat anak-anak Melayu kita yang beragama Islam masuk rancangan realiti televisyen seperti Akademi Fantasia, Mentor dan entah apa-apa lagi dengan cita-cita nak jadi artis. Terkinja-kinja, melompat-lompat dengan fesyen yang apa-apa entah. Dengan rambut berceracak, kemudian diwarnakan dengan warna terang, ala-ala Stacy katanya, sakit mata melihat. Buruk benar rupa. Apa yang nak dibanggakan dengan fesyen sebegitu? Dah tu bila tersingkir keluar, menangis berpeluk-pelukkan. Lain lagi cerita cintan-cintun dalam akademi tu. Seorang tu suka perempuan nilah, perempuan ni ada hati dengan orang laki tu lah. Adoi, sakit kepala, berbulu telinga mendengarnya. Cerita bodoh macam tu pun nak dijual ke?

Rancangan Mentor lain pula ceritanya. Pernah pada suatu malam, selepas pulang merawat, saya dan Wan Sudirman singgah makan di Kubah Ria. Ketika sedang menunggu makanan, kami menonton tv yang dipasang oleh tuan kedai makan tersebut. Kebetulan, rancangan Mentor sedang ditayangkan. Setelah menonton kira-kira 10 minit, saya menjadi geram, meluat dan sedih bila melihat anak Melayu merengek-rengek menangis depan kamera kerana disingkirkan daripada ujibakat Mentor tersebut. Malah merayu-rayu pula kepada Rahim Maarof yang menjadi hakim ujibakat tersebut, sambil bercerita dia adalah anak kampung yang kerjanya membela lembu, hidup susah, nak tolong mak ayah. Si peserta ini merayu supaya diterima masuk dalam Mentor.

Kalau nak tolong mak ayah, cari kerja la, bukan jadi penyanyi! Kalau tak pun sambung belajar ke, buat bisnes kecil-kecilan ke. Ada ka patut nak jadi penyanyi, lepas tu menangis merengek macam budak kecik. Tak malu ke satu Malaysia tengok?

Ada seorang lagi peserta yang menangis jugak, dia kata dia datang ke Kuala Lumpur tak bawak duit. Tido tepi jalan. Duit yang ada pun cukup-cukup je. Merempat... (sanggup merempat semata-mata nak jadi penyanyi? Orang dulu-dulu merempat kat Makkah kerana nak tadah ilmu, balik ke Tanah Melayu dapat jadi ulama, dapat buka madrasah lagi. Awak merempat dapat jadi apa? Awak ingat Rahim Maarof tu nak ke bagi awak duit suruh tido kat hotel?).

Marah sungguh saya...

Marah, kecewa, sedih. Itulah gambaran perasaan saya bila melihat keadaan seperti ini. Mereka sanggup menjatuhkan maruah dan harga diri dengan cara menangis dan merengek semata-mata nak jadi penyanyi. Saya malu melihat anak Melayu begini. Mungkin pada ketika ini bangsa lain sedang mentertawakan anak bangsa kita yang nampak bodoh di kaca televisyen.

Kenapa mereka enggan bekerja? Kenapa mereka tak mohon masuk universiti, atau Politeknik, atau IKM, atau CIDB? Di CIDB, pelajar-pelajarnya mendapat elaun setiap bulan. Tak payah bayar yuran. Dengan duit elaun tersebut boleh jugak meneruskan kehidupan dan dapat jugak makan minum, at least mak ayah kat kampung tak payah hantar duit poket setiap bulan kat anak yang sedang belajar. Tamat pengajian, dijamin dapat kerja. Bukankah itu lebih baik daripada jadi penyanyi?

Generasi muda kita dah tak dapat nak bezakan mana intan, mana kaca. Mereka lebih mengejar glamour daripada ilmu. Kononnya, bila dah jadi penyanyi, hidup akan mewah, pakai kereta besar, rumah besar, bergaya dengan baju mahal, orang tengok dan kejar nak mintak autograf sana-sini, masuk majalah dan lain-lain. Apa faedah semua ini? Adakah ia menyumbang kepada pembanguna negara? Dengan jadi penyanyi, dapat ubat orang macam doktor ke? Dapat bina sekolah macam engineer ke? Cuba tengok seorang penyanyi perempuan yang 'tersohor' tu, dah kaya, harta juta-juta, kahwin lagi dengan seorang Dato(itupun bekas suami orang), dapat title dato lagi (tapi SPM dia lulus biasa je, bukan cemerlang. Tak pernah masuk universiti pun...), ada ke kita dengar dia bina hospital, bina sekolah dan madrasah, buat rumah untuk orang miskin, bagi kerja kepada orang yang tiada pekerjaan? Pernah ke? Yang saya tahu, setiap kali dia dijemput untuk menyanyi, 2 lagu dia charge sampai RM 10 ribu. Hirup darah ke apa dia ni?

Tidakkah kita terfikir, para engineer, doktor, akauntan, para pegawai tadbir kerajaan yang berkelulusan tinggi seperti ijazah dan diploma, gajinya paling tinggi pun RM 3-10 ribu SEBULAN atau lebih sedikit. Berbeza dengan si penyanyi yang hanya sekali nyanyi dapat ribu-ribu ringgit. Golongan profesional inilah yang membangunkan negara, mengubati orang, membina jalanraya dan sekolah, dan lain-lain lagi. Tapi para artis dan penyanyi yang berkelulusan setakat SPM tu pulak boleh kaya raya. Mana dia keadilan?

Dek kerana mengejar impian nak jadi kaya inilah, anak-anak muda kita 'kejeron' nak jadi artis. Natijahnya, mereka tidak mempelajari ilmu, kalau adapun di antara mereka yang berpendidikan tinggi, tapi oleh kerana mereka tidak mengamalkan ilmu, maka ilmu tersebut berkubur dan hilang begitu sahaja daripada dada dan hati mereka. Ini amat menyedihkan.

Inilah Ghazwul Fikri, peperangan fikran yang disemai oleh Barat ke dalam minda generasi kita. Mungkin kesannya kita belum nampak pada ketika ini. Namun lihatlah kelak, dalam 10 ke 20 tahun yang akan datang, apa akan jadi kepada negara dan anak bangsa kita, jika keadaan ini tidak ditangani segera.

Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah. Kembalilah kepada syariat Islam yang sebenar. 'Ruqyah'lah fikiran generasi kita yang sedang 'dirasuk' oleh 'jin-jin' hiburan, materialisme, glamour, arak, zina dan seribu satu macam maksiat. Kalau para mu'allij biasa menyembelih jin ketika merawat pesakit kerasukan, maka mu'allij yang sama harus 'menyembelih' 'jin kebodohan' yang 'merasuk' masyarakat ketika pada ketika ini. Tanamkan aqidah yang benar ke dalam hati mereka.

Negara Kita Perlu 'Diruqyah'...!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan